Singapura 447 Indonesia 297

THAILAND mencatat 30 kes baharu Covid-19 dan dua lagi kematian, menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat ini ialah 2,643 kes dengan 43 kematian.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata kematian terkini membabitkan seorang wanita rakyat Thailand berusia 65 tahun yang merupakan penjaja jalanan di Chiang Mai dan seorang lelaki rakyat Thailand berusia 60 tahun dari Ayuthaya yang kembali dari Indonesia untuk menghadiri satu perhimpunan keagamaan dibatalkan pada saat-saat terakhir.

“Pada April, kira-kira 23 peratus kes yang disahkan adalah dijangkiti daripada ahli keluarga. Oleh itu, adalah penting untuk meneruskan amalan jarakan sosial serta memakai penutup hidung dan mulut ketika berada di rumah,” katanya.

Setakat ini, Thailand telah mencatat sejumlah 2,643 kes di 68 wilayah dan 1,497 pesakit pulih dan kembali ke rumah masing-masing.

Bangkok mencatat jumlah kes paling tinggi iaitu 1,328 diikuti Phuket (190), Nonthaburi (149), Samut Prahkan (108), Yala (93) dan Pattani (85).  

Sementara itu, Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan  o-cha berkata kerajaan akan menilai situasi Covid-19 di negara tersebut sebelum membuat keputusan sama ada melonggarkan perintah dan langkah di bawah dekri darurat. 

“Tolong berikan kami sedikit masa untuk menilai situasi ini. Saya tahu ramai yang menderita (akibat penularan wabak COVID-19) tetapi kesihatan awam adalah keutamaan kerajaan,,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet di Rumah Kerajaan Thailand hari ini. 

Sementara itu, INDONESIA mencatatkan peningkatan korban akibat Covid-19 kepada 469 orang selepas berlaku 10 lagi kematian dalam tempoh 24 jam, menurut Jurucakap Pemerintah Indonesia Achmad Yurianto.

“Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini juga, kes positif bertambah sebanyak 297, menjadikan keseluruhan kes positif kini berjumlah 5,136 kes,” katanya.

Provinsi Jakarta mencatatkan kematian tertinggi iaitu sebanyak 242 kes, diikuti Jawa Barat (52 kes), Jawa Timur (45) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

Di SINGAPURA, Kementerian Kesihatan (MOH) melaporkan 447 kes jangkitan baharu, jumlah tertinggi yang dilaporkan dalam sehari, dengan kebanyakan merupakan pemegang pas kerja yang tinggal di asrama.

Sebanyak 404 kes melibatkan pemegang pas kerja yang tinggal di asrama, manakala lima melibatkan mereka yang tinggal di luar asrama.

Jumlah kes jangkitan setempatpula semakin stabil, dengan 38 jangkitan baharu.

Secara kesuluruhan, Singapura mempunyai 3,699 kes jangkitan koronavirus sejauh ini.

Related posts

Leave a Comment