AS gantung dana WHO

WASHINGTON: Kritikan dan sikap tidak puas hati terhadap Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akhirnya mendorong Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menghentikan bantuan dana kepada pertubuhan itu sementara kajian semula dijalankan.

Menurut Trump, kajian semula itu merangkumi dakwaan salah urus WHO dalam isu Covid-19 selain menyembunyikan penularan jangkitan virus berkenaan, lapor CNN.

Beliau berkata ketika AS mengehadkan kemasukan pelancong dari China pada fasa awal wabak tersebut, WHO “menentang apa yang dilakukannya”.

“Negara dan wilayah lain yang mematuhi panduan WHO dan membuka sempadan kepada China menyaksikan peningkatan pandemik itu di seluruh dunia.

Keputusan negara besar lain untuk membenarkan perjalanan adalah antara tragedi terhebat dan peluang yang diketepikan sedari awal lagi,” kata Trump dalam sidang medianya pada Selasa.

AS menyumbang AS$400 hingga AS$500 juta setiap tahun.

Sementara itu di MOSCOW, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres berkata sekarang bukan masa yang sesuai untuk menangguhkan pembiayaan kepada WHO, lapor agensi berita Sputnik.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi balas terhadap pengumuman Trump yang mahu menghentikan sumbangan negara itu kepada WHO. Trump juga menuduh badan kesihatan dunia itu gagal dalam menguruskan wabak Covid-19.

“Sekarang juga bukan masanya untuk mengurangkan sumber operasi Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau organisasi kemanusiaan lain dalam memerangi virus itu,” kata Guterres.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, sekarang adalah masa untuk masyarakat antarabangsa bersatu dan bekerjasama untuk menghentikan virus,” katanya.

Related posts

Leave a Comment