334 kes baharu di Singapura

SINGAPURA : Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) melaporkan 334 kes baharu jangkitan Covid-19 di republik itu Selasa, 14 April, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini 3,252.

Pengarah Perkhidmatan Perubatan MOH Profesor Madya Kenneth Mak berkata,  189 kes mempunyai kaitan dengan beberapa kluster yang telah dinamakan, 23 dikaitkan dengan kes tempatan lain dan 122 tiada kaitan dengan mana-mana kluster setakat ini.

“Bagaimanapun, 122 kes ini tidak membayangkan penularan sumber yang tidak diketahui. Jumlah ini akan berkurangan secara progesif dan kami akan mengaitkan mereka dengan kluster sedia ada, iaitu yang membabitkan asrama pekerja asing atau sebaliknya,” kata Mak pada taklimat teknikal secara maya Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian Covid-19 dan sidang akhbar di sini. 

Mak berkata, 98 orang daripada mereka adalah pemegang pas pelawat jangka panjang dan kebanyakannya tidak mempunyai kaitan dengan asrama pekerja terbabit manakala 24 merupakan Warganegara Singapura atau Penduduk Tetap.

“Mereka yang dikaitkan dengan kluster yang telah dinamakan setakat ini hanya dua orang iaitu Warganegara Singapura dan PR. Selebihnya adalah pemegang pas pelawat jangka panjang. Mereka sudah dikaitkan dengan kluster yang telah dinamakan dan kebanyakannya tinggal di asrama pekerja,” katanya.

Mengikut MOH , tiga rakyat Malaysia adalah sebahagian daripada 334 kes baharu yang dilaporkan. Seorang daripada mereka dikaitkan dengan Asrama Pekerja S11 yang ketika ini mempunyai 718 kes, kluster terbesar di Singapura setakat ini.

Individu kedua  dikaitkan dengan kluster Asrama Pekerja Tampines yang ketika ini mempunyai 55 kes manakala seorang lagi dikategorikan sebagai kes tempatan yang tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kluster.

Kluster asrama pekerja di Jalan Kubor yang membabitkan enam rakyat Malaysia dan seorang PR Singapura, kesemuanya adalah pemegang pas kerja Singapura, menambah satu lagi kes positif membabitkan seorang lelaki rakyat Singapura berusia 28 tahun.

Republik itu turut melaporkan kematian ke-10 akibat Covid-19 membabitkan seorang lelaki rakyat Singapura berusia 70 tahun yang disahkan dijangkiti virus itu pada 6 Mac.

MOH berkata 25 kes telah pulih daripada jangkitan menjadikan jumlah keseluruhan pesakit yang sembuh setakat ini ialah 611 orang.

Related posts

Leave a Comment