Indonesia catat 60 kematian

INDONESIA mencatatkan 60 lagi kematian dalam tempoh 24 jam akibat Covid-19, jumlah tertinggi setakat ini sejak kematian pertama 11 Mac lepas.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto berkata jumlah kematian akibat virus itu kini meningkat kepada 459 kes.

Sebanyak 37 daripada 60 kematian dalam tempoh 24 jam itu berlaku di Jakarta.

Provinsi Jakarta mencatatkan kematian tertinggi iaitu 241 kes, diikuti Jawa Barat (52 kes), Jawa Timur (41) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

“Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini juga, sebanyak 282 kes baharu, menjadikan kes positif kini meningkat kepada 4,839,” katanya.

Di THAILAND, sebanyak 34 kes baharu dan satu kematian di Bangkok dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes 2,613 dan 41 kematian.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi  Covid-19 (CCSA),  Thaweesilp Wissanuyothin berkata korban terbaharu itu merupakan seorang pemandu bas wanita berusia 52 tahun yang menghidap penyakit darah tinggi dan mengalami jantung membesar, dijangkiti virus itu daripada seorang pesakit yang disahkan. 

Setakat ini, beliau berkata 1,405 pesakit sudah pulih dan pulang ke rumah.

“Kumpulan berumur 30 hingga 39 tahun merupakan kes terbesar — 623 kes daripada jumlah keseluruhan kes di negara ini,” katanya semasa taklimat harian Covid-19 di sini hari ini. 

Bangkok melaporkan jumlah kes tertinggi dengan 1,311 kes diikuti Phuket (186), Nonthaburi (150), Samut Prakan (107) dan Yala (90).

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Thailand berkata 102 petugas kesihatan dijangkiti virus itu atau empat peratus daripada jumlah keseluruhan kes Covid-19 di negara ini.

“Buat masa ini , kira-kira 50 peratus daripada jangkitan ini berkaitan dengan pesakit yang tidak mendedahkan sejarah kemungkinan mereka terdedah kepada Covid-19.

Bagi melindungi petugas dan sistem penjagaan kesihatan, adalah penting setiap orang mematuhi langkah untuk mengurangkan jangkitan Covid-19,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, di BRUNEI, tiada kes baharu dilaporkan hari ini menjadikna jumlah kes kekal 136 kes. Kematian kekal satu kes.

Menurut siaran akhbar Kementerian Kesihatan, jumlah kes sembuh adalah 107 kes.60

Related posts

Leave a Comment