Kes positif Covid-19 kini 4,987

PUTRAJAYA : Lima lagi kes kematian melibatkan Covid-19 dengan 170 kes baharu dilaporkan setakat pukul 12 tengah hari ini, 14 April 2020. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah 82 atau 1.64 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pada masa sama, 202 kes positif Covid-19 telah pulih dan telah dibenarkan keluar hospital.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya adalah sebanyak 2,478 kes (49.7 peratus, iaitu hampir separuh daripada jumlah keseluruhan kes).

Hari ini juga, bilangan kes yang didiscaj adalah melebihi bilangan kes baharu yang dilaporkan.

Mengenai kes baharu, beliau memberitahu, terdapat 170 kes yang dilaporkan menjadikan jumlah kes positif sebanyak 4,987 kes. Oleh itu, setelah kes kumulatif ditolak dengan kes discaj dan kematian, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 2,427 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Sehingga kini, seramai 60 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 33 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Kes kematian ke-78 (kes ke-4532), lelaki dewasa tanpa identiti diri dan dipercayai bukan warganegara yang ditemui mati di Kota Kinabalu, Sabah pada 6 April 2020. Keputusan ujian sampel Covid-19 yang diambil semasa bedah siasat didapati positif pada 11 April 2020. Kes ini di bawah siasatan pihak polis.

Kematian ke-79 (kes ke-2052), lelaki warganegara Malaysia berumur 65 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang. Beliau dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor pada 27 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 14 April 2020 jam 5.17 pagi.

Kematian ke-80 (kes ke-4818), lelaki warganegara Malaysia berumur 63 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung dan penyakit buah pinggang. Beliau dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 7 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 12 April 2020 pukul 11.36 malam.

Kematian ke-81 (kes ke-4521), perempuan warganegara Malaysia berumur 74 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit buah pinggang. Beliau mempunyai sejarah kontak rapat kes positif Covid-19, iaitu kes ke-4088 yang telah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling. Beliau dirawat di Hospital Melaka pada 9 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 13 April 2020 pukul 4.20 petang.

Kematian ke-82 (kes ke-1649), lelaki warganegara Malaysia berumur 81 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis. Beliau mempunyai sejarah kontak rapat kes positif Covid-19, iaitu kes ke-343 yang menghadiri perhimpunan di Seri Petaling. Beliau dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor pada 26 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 14 April 2020 pukul 11.50 pagi.

Related posts

Leave a Comment