Bukan tugas mudah

KUALA LUMPUR : Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyifatkan pengalaman dan tugas yang digalasnya sebagai ketua negara ketika ini adalah sukar dan mencabar.

Al-Sultan Abdullah bertitah amanah dan tanggungjawab yang dipikulnya amat berat terutama dalam usaha menyatukan rakyat negara ini yang berbilang kaum dan mempunyai pandangan serta pemikiran yang pelbagai.

“Saya rasa agak begitu berat bahu dipikul dan tanggungjawab besar, kalau setakat jadi Sultan (Pahang) mungkin saya boleh memahami tugas-tugasnya tetapi apabila dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong memang satu suasana yang berlainan, banyak perkara saya tidak tahu, terpaksa saya ambil tahu.

“Kalau boleh saya kongsi, bukan mudah walaupun kita tengok hari ini masjid cantik, istana cantik, tetapi tugas yang perlu dilakukan bukan mudah kerana saya tak sangka saya kena baca banyak kertas-kertas kerajaan, saya kena tandatangan banyak watikah-watikah yang mana itu adalah sebahagian tugas.

“Justeru saya berharap, walau sekecil mana pun saya akan terus berusaha menyatukan setiap daripada kita rakyat di Malaysia dan selagi ada kudrat saya akan cuba dampingi rakyat, memberi segala bantuan,” titah Seri Paduka.

Seri Paduka bertitah demikian pada Majlis Kesyukuran Sempena Setahun Menaiki Takhta Sebagai Sultan dan Raja Pemerintah Negeri Pahang pada 15 Januari ini di Istana Negara malam tadi.

Al-Sultan Abdullah turut berharap semua pihak dapat memberi nasihat sewajarnya terutama dalam usaha menjaga kehormatan institusi diraja yang berfungsi sebagai pelindung kepada semua kaum di negara ini.

Terdahulu pada majlis itu, Al-Sultan Abdullah berkenan menunaikan solat Maghrib yang diimam Masjid Pekan, Khairul Anuar Mohd Nor dan solat sunat hajat bersama 500 jemaah yang diimamkan oleh Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman.

Al-Sultan Abdullah dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang VI, pada 15 Jan 2019 menggantikan Almarhum Sultan Ahmad Shah yang ketika itu sedang gering sebelum baginda mangkat pada 22 Mei tahun yang sama.

Related posts

Leave a Comment