Urus sendiri rambut ketika PKP

SETELAH mendapat pelbagai reaksi, kebanyakannya bimbang dan tidak setuju,  Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencadangkan beberapa sektor yang dibenarkan beroperasi semula seperti kedai gunting rambut, ditangguhkan sementara waktu. Cadangan KKM itu lebih melegakan.

Berdasarkan reaksi masyarakat dan pelbagai pihak, secara tidak langsung menunjukkan penerimaan ramai mengenai langkah menghentikan rantaian wabak Covid-19. Rakyat mula memahami penjarakan sosial. Mereka ambil tahu langkah-langkah untuk menjaga diri dan orang lain daripada jangkitan wabak. Seperti kata Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin ‘kita jaga kita’.

Sejak semalam, banyak pandangan dan pengalaman dikongsi melalui media sosial yang semuanya bercakap mengenai kesan buruk apabila kedai gunting rambut beroperasi pada fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Dalam tempoh PKP ini, ramai yang sanggup untuk berambut panjang atau menguruskan sendiri rambut mereka.

Pengguna media sosial turut berkongsi berita mengenai seorang tukang gunting rambut di Amerika Syarikat yang mati kerana dijangkiti Covid-19.  Sementara di Fukuoka, Jepun terdapat laporan ada kes kluster jangkitan Covid-19 di wilayah itu yang disyaki berpunca dari sebuah salon dandanan rambut. 

Begitulah kebimbangan masyarakat terhadap cadangan kerajaan itu. Lebih menarik tukang gunting pun tidak sanggup menanggung risiko walaupun mereka berpeluang mendapatkan semula pendapatan yang hilang selama lebih tiga minggu.

Lebih 1,000 kedai gunting rambut di Kuala Lumpur dan Selangor membuat keputusan untuk tidak beroperasi sehingga 30 April ini meskipun dibenarkan berbuat demikian.  Bagi mereka  risikonya terlalu besar bukan saja kepada pelanggan malah kepada pekerja kedai gunting rambut.

Di Pulau Pinang kerajaan negeri tidak membenarkan  premis gunting rambut dibuka atau beroperasi sepanjang tempoh PKP.Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang yang dipengerusikan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow memandang serius berhubung peratusan lebih daripada 95 peratus maklum balas awam yang menyatakan kebimbangan mereka.

“Malah mesyuarat turut mengambil kira persoalan seperti faktor jarakan sosial dan kemungkinan menyebabkan wujudnya kluster baharu,” katanya pada sidang media secara langsung menerusi Facebook peribadinya. Sambil berharap kerajaan mengkaji semula, beliau menegaskan hak kerajaan negeri menolak keputusan kerajaan pusat sekiranya ia masih dilaksanakan..

Kerajaan Negeri Sembilan pula mahu KKM menetapkan prosedur operasi standard (SOP) bagi perkhidmatan kedai cermin mata dan gunting rambut asas. Ini disebabkan, kedua-dua perkhidmatan itu dikihat berurus niaga secara terus dengan masyarakat tanpa ada jarakan sosial yang digariskan KKM bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata : “Kedai gunting rambut perlu ada SOP yang lebih ketat daripada kementerian sebab ini kontak langsung yang paling rapat tanpa ada jarakan sosial,” .

Public Health Malaysia pula melalui laman Facebooknya menyatakan bahawa risiko penyebaran Covid-19 di kedai gunting rambut agak tinggi kerana jarak rapat antara pelanggan dan tukang gunting rambut, tempoh masa yang lama di dalam premis,  sekitar 15 minit, selain ruang kedai yang sempit dengan pengudaraan yang terhad.

Sehubungan itu, Public Health Malaysia menyarankan agar pemilik premis memastikan mereka tidak mempunyai gejala demam atau batuk selesema; melakukan disinfeksi harian premis; menyediakan ruang pengudaraan yang baik; dan mengawal kemasukan pelanggan serta membersihkan rambut yang telah digunting.

Pelanggan pula perlu disaring dan mereka yang bergejala tidak dibenarkan masuk; menggunakan penutup mulut dan hidung (sekiranya bergejala); membasuh tangan sebelum memasuki premis dan duduk; serta menjaga jarak sosial.

Begitulah keprihatinan rakyat Malaysia. Semoga pandangan masyarakat diberi perhatian. Rakyat mula sedar peranan mereka.

[Kartun hiasan petikan BH 12 April 2020]

Related posts

Leave a Comment