Kes meningkat di empat negara

THAILAND  merekodkan 45 kes baharu Covid-19 termasuk melibatkan lapan warga Thailand yang pulang dari Indonesia, menjadikan jumlah kes yang disahkan kepada 2,518. Dua lagi kematian dilaporkan menjadikan 35 kes.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata, dua kematian terbaru itu melibatkan dua lelaki rakyat Thailand – pekerja kedai pajak gadai berusia 46 tahun dan pekerja pembersihan Pentadbiran Metropolitan Bangkok berusia 65 tahun.

“Memandangkan bilangan kes baharu Covid-19 di bawah 100 sejak beberapa hari kebelakangan ini, kita mesti terus berjaga-jaga dan mengekalkan jarakan sosial untuk memerangi wabak di negara ini,” katanya pada taklimat harian.

Daripada kes yang telah disahkan, 1,135 pesakit telah discaj.

Thaweesilp juga mengulangi seruannya menggesa rakyat di negara itu mengamalkan jarakan sosial, terutama semasa sambutan tahun baharu tradisional Thailand, Songkran mulai 13 hingga 15 April, yang telah ditangguhkan ke tarikh lain pada tahun ini.  

Semalam, Perdana Menteri Jen Prayuth Chan o-cha menggesa rakyat Thailand tidak mengambil bahagian dalam sebarang sambutan tidak rasmi Songkran.

Di JAKARTA, jumlah kematian akibat Covid-19 di Indonesia meningkat kepada 327 kes.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto berkata sebanyak 21 lagi kematian berlaku dalam tempoh 24 jam.

“Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini juga, sebanyak 330 kes baharu, menjadikan jumlah kes kini sebanyak 3,842,” katanya.

Provinsi Jakarta mencatatkan kematian tertinggi iaitu 159 kes, diikuti Jawa Barat (40 kes) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

Sementara jumlah pesakit sembuh bertambah empat orang menjadikan 286 orang

SINGAPURA pula melaporkan 191 kes baharu menjadikan keseluruhan 2,299  kes sementara seorang lelaki warga tempatan berusia 90 tahun meninggal dunia disebabkan komplikasi jangkitan itu, menjadikan lapan kematian setakat ini. 

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH), kebanyakan kes baharu tidak terkait dengan mana-mana kes atau kelompok yang diketahui. Usaha menjejak kontak bagi 119 kes sedang dijalankan. 

Terdapat 52 kes yang dikaitkan dengan kelompok yang dikenalpasti, sementara 20 lagi terkait dengan kes-kes lain. Tiada kes import dilaporkan. 

Seramai 35 pesakit telah sembuh menjadikan 528 kes telah pulih sepenuhnya. Daripada 943 kes yang disahkan yang masih di hospital, sebahagian  semakin baik, manakala 31 kini dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi. 

Sejumlah 820 kes yang secara klinikal didapati baik, tetapi diuji positif Covid-19, telah diasingkan dan dijaga di pusat kemudahan awam. Sehingga 12 tengah hari, MOH mengenalpasti 26,189 kontak terdekat yang telah dikuarantin. Daripada jumlah itu, 10,757 sedang dikuarantin dan 15,432 tamat tempoh kuarantin.

Di FILIPINA, Jabatan Kesihatan melaporkan 233 kes baharu positif Covid-19 menjadikan keseluruhan kes 4,428 .

Sebanyak 26 kematian dicatatkan sehingga pukul 4 petang ini  menjadikan 247 kes sementara kes pulih pula meningkat kepada 157 apabila 17 kes sembuh hari ini.

BRUNEI Darussalam pula tidak mencatatkan sebarang kes hari ini menjadikan kes jangkitan kekal 136.

Kementerian Kesihatan juga memaklumkan, jumlah kematian kekal satu sementara kes pulih 104.

Related posts

Leave a Comment