Saman S$300 ingkar arahan

MULAI esok, Ahad, pemerintah Singapura tidak lagi mengeluarkan amaran bertulis terhadap  mereka yang masih berdegil atau gagal mematuhi langkah ‘pemutus litar’ yang bertujuan membendung wabak Covid-19. Saman $300 menanti mereka.

Menteri Sekitaran dan Sumber Air,  Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, memberi ingatan itu setelah mendapati masih ada yang tidak mematuhi arahan. Buktinya, hari ini sahaja, lebih 3,000 amaran keras dan lebih banyak saman dikeluarkan

Melalui catatan Facebooknya malam ini, beliau berkata, denda lebih tegas  diperlukan.

“Mulai esok,  tidak ada lagi amaran bertulis. Sesiapa yang ditemui Pegawai Penguatkuasa, akan diminta memberi keterangan diri dengan serta-merta dan akan dikenakan denda $300 untuk kesalahan pertama.

“Bagi kesalahan berulang, denda lebih tinggi, atau didakwa di mahkamah bagi kes melampau,” tulisnya..

Masagos berkata , sikap dan perbuatan golongan ini menyebabkan rakyat terdedah kepada risiko kesihatan dan keselamatan

“Saya masih menerima banyak maklum balas tentang langkah ‘pemutus litar’. Ramai  yang berkongsi gambar dan video orang (baik muda dan tua) yang masih tidak berada dalam rumah, atau mematuhi langkah jarak selamat yang dipertingkat,” tambahnya.

Masagos juga menarik perhatian mengenai mewajibkan setiap pengendali makanan dan minuman dan penjaja pasar basah memakai pelitup ( penutup hidung dan mulut).

Ini akan berkuatkuasa lusa (13 April). Mulai esok juga semua pengunjung ke pasar basah mesti memakai pelitup. Mereka yang gagal berbuat demikian tidak akan dibenarkan masuk 40 pasar yang diuruskan NEA atau pengendali yang dilantik NEA. 

“Ramai dalam kalangan kita bekerja keras untuk melindungi rakyat Singapura, termasuk pekerja penjagaan kesihatan, pekerja pembersihan, mereka dalam khidmat yang diperlukan, dan juga kakitangan awam. Ramai dalam masyarakat memulakan daya usaha untuk membantu orang di sekeliling mereka.

“Perkara paling mudah yang boleh dilakukan adalah duduk di rumah. Marilah kita harunginya bersama-sama,” kata Masagos.

Related posts

Leave a Comment