Takziah kepada keluarga M.Daud Kilau

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada keluarga bintang legenda, Allahyarham M Daud Kilau yang meninggal dunia di Hospital Teluk Intan (HTI), Teluk Intan, petang semalam.

Melalui hantaran dalam media sosial rasminya, Anwar berterima kasih kepada Allahyarham M Daud kerana menghiburkan rakyat Malaysia dan menyifatkan seniman yang digelar Raja Gelek itu sebagai permata tanah air.

“Saya utus takziah buat keluarga almarhum Datuk M Daud Kilau yang melaporkan Allahyarham telah kembali dijemput Ilahi, siang tadi.

“Mendoakan Allahyarham diampuni rohnya dan diberi tempat yang terbaik di sisi-Nya. Semoga Allah SWT kurniakan kesabaran tingkat tinggi kepada keluarganya.

Terima kasih kerana pernah menghiburkan masyarakat di Malaysia dan menjadi antara permata tanah air,” katanya.

Bintang legenda digelar Raja Gelek, M Daud, 85, menghembuskan nafas terakhir di HTI, Teluk Intan, pada pukul 4.40 petang semalam .

Berita pemergian Allahyarham M Daud yang terkenal dengan imej unik dan dendangan malar segar seperti Cek Mek Molek, dikongsi cucunya dikenali sebagai Hasnor Ikram melalui Instagram Story (IGs).

“Datuk saya, Mohd Daud bin Kilau telah hembuskan nafasnya yang terakhir sebentar saja tadi… Al-Fatihah,” katanya.

Sebelum ini, Allahyarham M Daud dilapor pernah dimasukkan ke HTI selepas mengadu sesak nafas. Allahyarham M Daud juga pernah menjalani prosedur pembedahan angioplasty di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur, dua tahun lalu.

Kesihatan Allahyarham M Daud dilaporkan terjejas enam tahun lalu dengan menghidap penyakit kencing manis, dilapor tidak boleh berdiri lama selain kebas kaki, tangan dan sakit pinggang. Selain itu, daya pendengarannya semakin kurang.

Allahyarham M Daud yang dilahirkan di Bagan Datoh, Perak aktif dalam bidang seni selepas menjuarai Bintang Radio di Singapura pada 1968 mendendangkan lagu Musalmah Manis dan Joget Hitam Manis.

Allahyarham M Daud kemudian ditawarkan menjadi artis rakaman hingga menghasilkan banyak EP dan LP yang memuatkan lagu bergenre langgam, asli dan dangdut.

Pada 1985, Allahyarham M Daud menjuarai pertandingan Pesta Dendang Rakyat kategori nyanyian asli.

Aksi M Daud bergelek selain kecenderungan melaram di pentas sambil menukar persalinan secara spontan, mengumpan peminat sejak era 1980-an. Selain Cek Mek Molek dan Sirih Pinang, M Daud popular dengan lagu Anak Derhaka, Gila Judi dan Pening yang dirakam bersama Ezlynn pada 2003.

Sementara itu, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN), Freddie Fernandez menyifatkan Allahyarham sebagai penghibur sejati yang sukar dicari ganti.

“Arwah penghibur legenda yang sudah berada dalam industri muzik tanah air selama 60 tahun. Sepanjang hayatnya, arwah menghiburkan ramai orang dengan aksi hebat setiap kali buat persembahan pentas, penuh gimik dan kejutan,” katanya

Freddie memberitahu BH Online, Allahyarham M Daud dianggap ikon gelek kerana aksi uniknya masih segar dalam ingatan ramai hingga hari ini.

“Malah, lagu malar segar seperti Cek Mek Molek, Hutang Minta Hutang, Anak Yang Pertama dan Gila Judi juga masih melekat di hati pendengar.

“Penyanyi mana yang mampu bertukar baju berkilau sebanyak tujuh kali di atas pentas? Itu memang momen paling diingati ramai.

“Pemergian arwah suatu kehilangan besar dan tiada individu mampu menggantikan tempatnya… Tiada sesiapa boleh bergelek seperti M Daud,” katanya.

Related posts

Leave a Comment