Kes Singapura, Thailand naik

KES jangkitan di SINGAPURA meningkat kepada 2,108 dengan pengesahan 198 kes baharu hari ini (10 April).

Sebanyak 79 kes dikaitkan dengan kelompok asrama pekerja asing, 48 dikaitkan dengan kelompok bukan asrama atau kes lain. Baki 71 masih dalam siasatan,

Kementerian Kesihatan (MOH) turut mengenal pasti tiga kelompok baharu – 14 kes di sebuah tapak kerja di Hospital Kebangsaan Singapura (NUH); lima di Bangunan ICA di Kallang; dan empat di asrama  31 Sungei Kadut Avenue.

S11 Dormitory @ Punggol (2Seletar North Link) kekal menjadi kelompok terbesar dengan sejumlah 306 kes.

Sementara itu, satu kes baharu melibatkan seorang wanita Singapura, 56 tahun, dikaitkan dengan kelompok The Wedding Brocade di Yishun, yang kini mempunyai empat kes.

MOH juga mengesahkan seorang warga Singapura berusia 86 tahun, meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 malam semalam (9 April).

Wanita itu daripada kelompok rumah kebajikan warga emas Lee Ah Mooi Old Age Home.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan FILIPINA mengesahkan sehingga pukul 4 petang ini (10 April), sebanyak 119 kes baharu positif Covid-19  dilaporkan menjadikan jumlah kes meningkat kepada 4,195.

Jumlah kematian pula sebanyak 18 menjadikan 221 orang manakala 16 kes pulih menjadikan 140 orang.

THAILAND pula merekodkan 50 kes baharu dan satu kematian, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 2,473 kes dan 33 kematian sejak penularan wabak itu pada Januari.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata kematian itu melibatkan seorang wanita warganegara Thailand berumur 43 tahun yang menghidap Systemic lupus erythematosus (SLE).

Virus itu telah merebak ke 68 daripada 77 wilayah di Thailand. Daripada 2,473 kes, Bangkok merekodkan 1,262 kes diikuti Phuket 166 kes, Nonthaburi (148), Samut Prakan (108), Yala (77), Chon Buri (73), Pattani (66), Songkhla (47) dan Chiang Mai (40).

“Daripada 2,473 kes, sebanyak 2,473 telah pulih dah didiscaj daripada hospital,” katanya semasa taklimat harian Covid-19 di Bangkok, pada Jumaat.

Kebanyakan kes yang dilaporkan di Thailand terdiri daripada tiga kumpulan iaitu kumpulan yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit yang disahkan, warga Thailand yang pulang dari luar negara dan kerjaya yang berisiko.

Di BRUNEI Darussalam, satu kes baharu dilaporkan hari ini selepas lima hari tanpa sebarang kes positif Covid-19.

Kes 136 ini mempunyai sejarah perjalanan ke Malaysia dan Indonesia.

Menurut Kementerian Kesihatan, setakat ini 36 kes masih dirawat di mana dua daripadanya kritikal. Kes sembuh pula tujuh menjadikan 99 kes.

Mengenai kuarantin, masih ada 74 orang yang menjalani pengasingan sementara jumlah yang tamat kuarantin adalah 2,308.

Related posts

Leave a Comment