Kes pulih atasi kes baharu

PUTRAJAYA: Sehingga pukul 12 tengah hari ini, 9 April, terdapat 109 kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 4,228 kes.

Pada masa yang sama, jumlah pesakit yang pulih daripada wabak berkenaan melebihi rekod jangkitan baharu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 121 kes dilaporkan bebas daripada jangkitan Covid-19 dan dibenarkan pulang, sekali gus menjadikan individu yang pulih ialah 1,608 orang atau 36 peratus.

“Ini bermakna, bilangan kes yang didiscaj hari ini juga adalah melebihi bilangan kes baharu yang dilaporkan,” katanya dalam sidang akhbar harian hari ini.

Beliau memberitahu, sehingga kini, seramai 72 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 43 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan, dua lagi kematian dilaporkan di negara ini akibat Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif kematian adalah 67 kes atau 1.58 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Menurut beliau, kedua-dua mangsa kes ke-66 dan ke-67 masing-masing merupakan warganegara Malaysia.

Kes kematian ke-66 (kes ke-2798) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 59 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit autoimun dan beberapa penyakit kronik yang lain.

Beliau mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan di Sri Petaling. Beliau telah dirawat di Hospital Melaka pada 31 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 9 April 2020 pukul 5 pagi.

Kes kematian ke-67 (kes ke-2864) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 23 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit tiroid.

Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan dua kes positif Covid-19 (iaitu kes ke- 2496 dan kes ke-2470) dan merupakan kes generasi kelima kluster persidangan gereja di Kuching, Sarawak (beliau bukan peserta persidangan ini).

Pesakit itu telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 30 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 9 April 2020 pukul  9.42 pag

Related posts

Leave a Comment