Brunei tiada kes baharu

INDONESIA mencatatkan sebanyak 40 kematian dalam tempoh 24 jam akibat Covid-19, jumlah tertinggi setakat ini sejak kematian pertama pada 11 Mac lepas.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto berkata, jumlah kematian akibat virus itu kini meningkat kepada 280.

Beliau berkata bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 327 lagi kes baharu direkodkan menjadikan jumlah positif  wabak itu kini sebanyak 3,293 kes.

Jakarta mencatatkan kematian tertinggi iaitu 142 kes, diikuti Jawa Barat (40), Jawa Tengah (22), Banten (20), dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

DI BRUNEI, kes positif Covid-19 kekal 135 apabila tidak ada kes baharu dilaporkan, iaitu hari kelima berturut-turut.

Kementerian Kesihatan Brunei Darussalam dalam siaran akhbar hari ini juga memaklumkan jumlah kes sembuh yang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan adalah 92 termasuk satu kes hari ini.

Terdapat 42 kes yang masih dirawat di mana dua masih dalam keadaan kritikal yang memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine serta mesin pernafasan.

Di samping itu 91 orang masih menjalani kuarantin dan dalam tempoh 24 jam lalu, sebanyak 337 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan 8,985 ujian.

Di FILIPINA, Jabatan Kesihatan mengesahkan sehingga pukul 4 petang, sebanyak 206 kes dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan 4,076 kes.

Sebanyak 21 kematian juga dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan 203 kes.

Di samping itu, sebanyak 28 kes telah pulih menjadikan 124 orang sembuh sepenuhnya .

Sementara itu, di THAILAND, sebanyak 54 kes baharu jangkitan Covid-19 dan dua kematian, dilaporkan menjadikan keseluruhan 2,423 kes dan 32 kematian.

Dua kematian itu membabitkan seorang warga Perancis berusia 74 tahun dan lelaki Thailand berumur 82 tahun.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata daripada 54 kes baharu itu, empat adalah kakitangan perubatan.

“Sejak Januari, terdapat 80 kakitangan perubatan termasuk 16 doktor dijangkiti kerana pesakit menyembunyikan maklumat ketika mendapatkan rawatan di hospital. Kira-kira 62.5 peratus dijangkiti daripada hospital,” katanya pada taklimat harian Covid-19 di sini hari ini.

Beliau berkata lima lagi antara 76 rakyat Thailand yang pulang dari Indonesia pada Isnin selepas perhimpunan keagamaan di sana dibatalkan pada saat akhir, diuji positif menjadikan jumlah 47 kes daripada kluster itu.

Related posts

Leave a Comment