51 kes baharu di Thailand

BANGKOK: Thailand mencatatkan 51 kes positif baharu Covid-19 di negara itu dengan tiga lagi kematian dicatatkan pada Isnin.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19, Taweesin Wisanuyothin, berkata daripada jumlah tersebut, 13 kes baharu adalah membabitkan petugas kesihatan yang merawat atau terbabit secara langsung dengan pesakit.

Katanya, hampir sebahagian kes baharu itu dikesan di Bangkok.

Setakat ini, Thailand mencatatkan kumulatif kes Covid-19 sebanyak 2,220 dengan 26 kematian sejak penularan pertama dikesan pada Januari lalu.

Daripada 2,220 kes, sebanyak 793 pesakit telah sembuh manakala 1,401 masih dirawat di hospital.

Berhubung perintah berkurung dari 10 malam hingga 4 pagi yang berkuat kuasa Jumaat lepas ( 3 April), sebanyak 923 pusat pemeriksaan telah diwujudkan  di seluruh negara dan 708 orang telah didakwa di mahkamah kerana melanggar perintah berkurung.

Sementara itu, jurucakap kerajaan Narumon Pinyosinwat menafikan spekulasi yang tular di media sosial bahawa kerajaan bercadang melaksanakan perintah berkurung sepenuhnya mulai Jumaat depan.

“Ia adalah berita palsu untuk mencetuskan panik. Setakat ini, tiada sebarang keputusan dibuat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan o-cha sedang mengambil semua langkah perlu dan proaktif untuk mengekang penularan wabak.

Related posts

Leave a Comment