Malaysia catat 150 kes baharu

PUTRAJAYA 4 April – Sebanyak 150 lagi kes positif  Covid-19 dicatatkan sehingga 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 3,483 kes, manakala empat lagi kes kematian dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada kes baharu itu, 80 kes berkaitan kluster perhimpunan di Sri Petaling, Kuala Lumpur.

Katanya jumlah kematian setakat ini adalah 57 kes, iaitu 1.64 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. 

“Kes kematian ke-54 (kes ke-2149) merupakan wanita warganegara Malaysia berumur 85 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung. Beliau telah dirawat di Institut Jantung Negara pada 23 Mac dan beliau disahkan meninggal dunia pada jam 12.10 tengah malam, 28 Mac.

“Kes kematian ke-55 (kes ke-860) merupakan wanita warganegara Malaysia berumur 66 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi. Beliau telah dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra, Kelantan pada 18 Mac dan disahkan meninggal dunia pada jam 4 petang semalam,“ katanya pada sidang media harian di Kementerian Kesihatan (KKM), di sini, hari ini.

 Dr Noor Hisham berkata kes kematian ke-56 (kes ke-2,850) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 56 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung serta mempunyai kontak rapat dengan kes ke-1,031.

“Beliau telah dirawat di Hospital Umum Sarawak, Sarawak pada 30 Mac. Beliau disahkan meninggal dunia pada jam 4.16 petang semalam.

“Kes kematian ke-57 (kes ke-1,575) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 61 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis. Beliau telah dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang pada 23 Mac. Beliau disahkan meninggal dunia pada jam 10.25 malam tadi,” katanya. 

Dr Noor Hisham berkata sehingga kini, sebanyak 99 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan  daripada jumlah tersebut, 50 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, terdapat 88 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 915 kes iaitu 26.27 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau berkata kebanyakan kes positif yang dikesan adalah berkait dengan mereka yang menghadiri perhimpunan di Sri Petaling iaitu 1,545 kes daripada 3,483 kes keseluruhan mewakili 44.36 peratus. 

“Kluster ini merupakan kluster yang terbesar setakat ini dan telah mempunyai beberapa generasi kluster jangkitan, misalnya, melibatkan ahli keluarga mereka, kontak rapat di masjid dan juga madrasah tahfiz,” katanya. 

Related posts

Leave a Comment