Saingan sengit Trump – Harris

WASHINGTON – Menjelang pilihan raya presiden hari ini, calon presiden Republikan Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan calon Demokrat, Kamala Harris, bersaing sengit berdasarkan tinjauan terkini Leger yang dikeluarkan oleh New York Post.

Kedua-dua calon memperoleh sokongan 49 peratus menjelang pengundian pada Selasa, manakala dua peratus responden lain menyatakan mereka akan mengundi calon lain.

Trump dan Harris juga dijangka dapat memperbaiki kualiti hidup rakyat Amerika, masing-masing pada 44 peratus, namun calon Republikan itu mendahului pesaing dari segi kejelasan pelan strateginya untuk ekonomi, dengan 45 peratus berbanding 42 peratus.

Tinjauan itu dijalankan dari 31 Oktober hingga 3 November melibatkan 950 pengundi berkemungkinan, dengan margin ralat tidak melebihi tiga mata peratusan.

Pemenang Pilihan Raya Presiden AS akan menerajui pentadbiran negara yang memiliki lebih 330 juta penduduk ini.

Bagaimanapun tinjauan pendapat awam mendapati keputusan pilihan raya kali ini dilihat bakal ‘ditentukan’ puluhan ribu pengundi di beberapa negeri sahaja berikutan hanya tujuh daripada 50 negeri benar-benar kompetitif pada pilihan raya itu.

Manakala baki yang lain berada dalam genggaman selesa Demokrat ataupun Republikan.

Dalam kalangan tujuh ‘medan pertempuran’ terbabit, Pennsylvania yang berpenduduk paling padat, dilihat sebagai negeri paling berkemungkinan menjadi penentu sama ada Kamala Harris (Demokrat) atau Donald Trump (Republikan) akan membolot mandat sebagai Presiden AS yang seterusnya.

Antara fakta menarik mengenai Pilihan Raya Presiden AS ialah pertandingan itu bukan semata-mata berdasarkan undi popular.

Sebaliknya bawah sistem Kolej Elektoral, calon yang menang di setiap negeri dan Washington DC akan memperoleh undi elektoral di negeri itu yang mana kebanyakannya adalah berdasarkan populasi.

Seseorang calon itu perlu memenangi majoriti daripada 538 undi elektoral (270). Jika berlaku seri 269-269, Dewan Perwakilan AS akan memilih pemenangnya dengan delegasi setiap negeri boleh membuat satu undian – senario di mana penganalisis meramalkan ia berkemungkinan memihak kepada Trump.

Sekiranya setiap negeri, tidak termasuk ‘medan tempur’, mencatatkan hasil pengundian seperti dijangkakan, Harris akan meraih 226 undi elektoral dan Trump pula 219, manakala baki 93 lagi menjadi rebutan.

Tujuh negeri ‘medan tempur’ ialah trio Rust Belt membabitkan Michigan, Pennsylvania dan Wisconsin, serta quartet Sun Belt membabitkan Arizona, Georgia, Nevada dan Carolina Utara.

Setakat Ahad lalu, menurut penjejak tinjauan pendapat awam New York Times, kesemua tujuh negeri ‘medan tempur’ itu mencatat saingan amat sengit.

Pennsylvania mempunyai 19 undi elektoral, iaitu lebih banyak berbanding negeri ‘medan tempur’ yang lain.

Nnn

Related posts

Leave a Comment