159 kes baharu, satu kematian

PUTRAJAYA, 28 Mac  – Sehingga tengah hari ini, Malaysia mencatatkan 159 kes baharu positif Covid-19,  menjadikan jumlah kumulatif kes yang positif di negara ini sebanyak 2,320 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata terdapat satu lagi kematian akibat jangkitan itu direkodkan hari ini dengan jumlah kumulatif kematian sebanyak 27 kes.

Mangsa lelaki warga Malaysia berusia 61 tahun itu meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Muar, Johor pada pukul 10.50 pagi tadi.

“Beliau mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi. Beliau dirawat di Hospital Tangkak Selasa lalu sebelum dipindahkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar pada hari berikutnya,” katanya pada sidang media harian perkembangan terkini Covid-19, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 61 kes pesakit pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya daripada Covid-19 dan discaj daripada wad adalah 320.

Sehingga kini, beliau berkata 73 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 54 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham sekali lagi menegaskan bahawa rakyat tempatan yang baru pulang dari luar negara dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela selama 14 hari.

Tegasnya, ini berikutan, sejumlah kes Covid-19 yang direkodkan sejak kebelakangan ini melibatkan rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara.

“Kementerian Kesihatan Malaysia memandang serius kepatuhan rakyat Malaysia dalam mengikuti nasihat dikeluarkan.

“Setiap lapisan masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing secara bertanggungjawab dan pematuhan ketetapan ini amat penting bagi mengelak berlakunya penularan jangkitan yang meluas dalam masyarakat,” tambahnya.

Related posts

Leave a Comment