PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) Penjara Pokok Sena yang dijadual tamat esok,Sabtu dilanjutkan selama 14 hari lagi sehingga 7 November 2020.
Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata, ia bagi memastikan rantaian Covid-19 diputuskan sepenuhnya di dalam Penjara Pokok Sena terutama dalam kalangan kakitangan.
Jelasnya, ia dilakukan atas cadangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan berkenaan dengan pelaksanaan PKPD di Penjara Pokok Sena sejak 11 Oktober 2020 sehingga 24 Oktober 2020.
Saringan oleh KKM sehingga 22 Oktober 2020, masih terdapat kes positif di kalangan banduan dan kakitangan penjara tersebut..
PKPD di Penjara Pokok Sena, Kedah serta enam lokaliti di Semporna dan satu lokaliti di Kunak, Sabah sebelum ini diadakan dari 11 hingga 24 Oktober.
Pelaksanaan PKPD di Penjara Pokok Sena turut melibatkan kuarters kakitangan dengan 3,262 tahanan serta 587 kakitangan manakala di Semporna dan Kunak melibatkan 35,643 penduduk.
Sementara itu, Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 736 premis perniagaan termasuk peruncit (534), pemborong (173) dan pengilang (29).
Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi.
Pegawai penguatkuasa KPDNEHP juga melakukan 1,096 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP dan mendapati 1,078 premis mematuhi SOP yang telah ditetapkan manakala 18 premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP.
Polis DiRaja Malaysia (PDRM) pula menahan 639 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP di mana 634 individu dikompaun manakala empat direman dan seorang dijamin.
Operasi Benteng pula berjaya melakukan tangkapan yang melibatkan 38 pendatang tanpa izin serta merampas dua bot dan tiga kenderaan darat.
Seramai 8,196 individu sedang menjalani proses Kuarantin Wajib manakala 381 individu dihantar ke hospital untuk rawatan. Setakat ini 44,264 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang.