Hargai pengorbanan pemimpin

KERJA belum cukup sebulan tetapi gaji dah kena potong dua bulan. Macam mana tu? Jawabnya tidak ada gaji. Gaji pertama selepas masuk kerja hanya akan dirasai pada bulan ketiga, iaitu Mei. Begitulah pengorbanan yang dilakukan oleh barisan Kabinet Malaysia yang mengangkat sumpah jawatan pada 10 Mac, kecuali Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 1 Mac.

Orang di luar sana boleh membuat pelbagai andaian atau pandangan sama ada secara ikhlas atau sinis berhubung keputusan Kabinet ini. Benarlah kehidupan mereka tidak bergantung kepada gaji menteri semata-mata tetapi hakikatnya mereka menunjukkan kesungguhan untuk bersama-sama rakyat merasai ‘keperitan’ ketika waktu sukar ini.

Mereka ‘hilang pendapatan’ untuk dua bulan selepas baru masuk kerja. Boleh bayangkan jika kita (tolak ketepi hasil pendapatan lain) terpaksa melakukan perkara yang sama? Justeru apa yang penting adalah kesediaan mereka untuk bersama-sama rakyat dan negara menghadapi waktu-waktu sukar ini.

Kata orang, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Cubit paha kanan, paha kiri rasa sakit juga. Ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni

Itulah mesej yang perlu difahami supaya setiap daripada kita bersama melakukan sesuatu ketika negara menghadapi kesukaran ini. Rakyat mempunyai peranan walaupun bukan dengan pemotongan gaji sebaliknya mematuhi arahan yang dikeluarkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian wabak ini. Bukan satu kerja mudah jika rantaian itu ‘berkeliaran’.

Justeru pengorbanan yang ditagih kerajaan adalah supaya rakyat duduk diam di rumah. Tidak perlu ke mana-mana. Jaga diri dan keluarga. Bagi yang berkemampuan boleh sahaja menyumbang kepada pelbagai tabung bagi membantu meringankan beban pelbagai pihak akibat PKP ini.

Bantulah kerajaan yang berusia 27 hari ini. Ingat Kabinet baharu ini belum mencapai usia sebulan selepas Kabinet Pakatan Harapan terbubar apabila Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan. Akhirnya Perikatan Nasional (PN) diberi tanggungjawab memikul tugas ini dengan membentuk Kabinet baharu.

Kabinet baharu ini pula menerima tanggungjawab ketika negara dalam keadaan sukar walaupun ketika itu dikatakan keadaan terkawal. Kabinet pimpinan Muhyiddin ini bukan menerima jawatan atas dulang emas atau masuk ke rumah dengan basuh kaki sahaja. Mereka perlu terus bekerja sebaik sahaja menerima jawatan. Masa rehat, cuti malahan tidur dalam kalangan mereka mungkin perlu dikorbankan.

Ketika ini, barisan Kabinet tidak ada masa untuk berpolitik atau berbangga dengan jawatan. Begitu juga seharusnya orang politik di luar Kabinet. Bukan masa untuk berkokok di sana sini mengenai serba serbi yang tidak kena. Mujur ada PKP. Jika tidak, mungkin orang politik bergerak ke sana sini di atas pentas untuk berpolitik.

Sekarang adalah masa untuk memberi fokus kepada perkara yang lebih penting iaitu melindungi rakyat daripada terus terkesan akibat wabak ini.

Bantulah kerajaan dengan menyokong segala usaha yang dilakukan terutama sejak PKP pada 18 Mac lalu. Jangan menyulitkan keadaan dengan pelbagai tindakan, tohmahan, kritikan, berita palsu dan pelbagai isu berkait Covid-19 yang boleh menimbulkan keresahan dan kemarahan dalam kalangan rakyat.

Ingat, cabaran atau bencana yang dihadapi hari ini adalah luar biasa bukan seperti banjir besar atau tsunami yang berlaku suatu masa dulu.

Bencana banjir dan tsunami boleh dilihat apabila air menenggelamkan rumah, menghanyutkan rumah dan harta benda, merosakkan tanaman dan ternakan malahan meragut nyawa. Bencana ini juga bukan kemarau yang menyaksikan tanah kering kontang, kebakaran hutan dan empangan takungan air kering.

Apabila banjir, tsunami atau kemarau, kita boleh menggerakkan bantuan sama ada wang ringgit, makanan, pakaian serta naik taraf infrastruktur. Bantuan mencurah di pusat pemindahan. Banyak tenaga sukarela tampil membantu. Tsunami air datang kemudian pergi.

Hari ini kita berdepan dengan tsunami penyakit. Musuh yang tidak kelihatan. Lebih setengah juta umat manusia sedang dijangkiti dan lebih 24,000 meninggal dunia. Jika satu dunia terkesan, siapa yang boleh membantu kita? Jawabnya, kita sendiri. Wabak ini tidak mampu diperangi dengan kelengkapan senjata termoden.

Senjata yang ada adalah ‘kekuatan’ diri sendiri. Sikap kita yang boleh membantu melawan wabak ini. Sama ada mengurangkan rantaian atau menghentikan rantaian bergantung kepada sikap rakyat. Justeru patuhilah arahan kerana secara tidak langsung boleh membantu mengurangkan beban yang ditanggung barisan hadapan negara. Ingat, tindakan kita jangan sampai menyusahkan pihak berkuasa dan orang lain.

Hargai pengorbanan pemimpin dan barisan hadapan kita dengan duduk di rumah. Lindungi diri dan keluarga. Semoga negara kita dilindungi.

Related posts

Leave a Comment