AS dahului kes positif

BILANGAN kes positif jangkitan Covid-19 di seluruh dunia mencapai angka setengah juta orang pada Khamis apabila kes meningkat kepada 59,089 kes dalam tempoh 24 jam, berbanding 466,955 kes pada Rabu.

Amerika Syarikat (AS) pula mengatasi China dan Itali untuk muncul sebagai negara paling ramai kes positif Covid-19. AS mencatatkan peningkatan mendadak bilangan kes sebanyak 17,119, menjadikan jumlah kumulatif kes positif kepada 82,404.

New York, Washington dan California merupakan bandar yang paling terjejas teruk di negara Uncle Sam itu.

Angka kematian di AS pula melepasi paras 1,000 mangsa dengan keseluruhannya sebanyak 1,178 kes.

Menurut statistik Universiti Johns Hopkins, setakat pukul 6 pagi waktu Malaysia, China berada di kedudukan kedua dengan 81,782 kes, diikuti Itali 80,589 kes.

China setakat Khamis merekodkan dua hari tanpa kes tempatan dan hanya mempunyai pertambahan kes import.

Sementara itu, Itali masih kekal sebagai negara yang mempunyai kes kematian paling tinggi di dunia dengan 8,215 mangsa. Ini diikuti Sepanyol dengan jumlah 4,154 kes, manakala China 3,169 kes.

Secara keseluruhan, jangkitan Covid-19 di seluruh dunia mencapai angka 526,044 kes dengan 23,709 kematian. Bagaimanapun, terdapat 122,066 kes yang telah sembuh dan dibenarkan keluar daripada hospital.

Pandemik Covid-19 kini telah menular di 175 negara.

(Grafik ini merujuk laporan ANC)

Related posts

Leave a Comment