Perintah berkurung di Saudi

RIYADH: Raja Salman mengeluarkan arahan perintah berkurung di Arab Saudi bermula petang Isnin untuk mengekang penyebaran jangkitan Covid-19.

Pengisytiharaan Diraja yang disiarkan oleh Agensi Berita Saudi (SPA) memaklumkan perintah berkurung itu bermula dari pukul 7 malam sehingga 6 pagi setiap hari bermula hari ini selama 21 hari.

Titah itu menyusul pengumuman Kementerian Kesihatan Arab Saudi bahawa 119 kes koronavirus baharu pada Ahad menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan positif Covid-19 di negara itu kini 511.

Berikutan perintah berkurung itu, penduduk diarah tinggal di rumah masing-masing. Bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada kakitangan awam dan swasta di beberapa sektor serta industri yang kritikal.

Pengecualian turut diberikan kepada pekerja di sektor keselamatan, tentera, media, serta kakitangan di sektor kesihatan dan perkhidmatan yang sensitif.
Kementerian Dalam Negeri akan melaksanakan langkah-langkah yang perlu untuk melaksanakan perintah berkurung, dan semua pihak berkuasa sivil dan ketenteraan diperintahkan untuk memberi kerjasama sepenuhnya.

Sebelum ini, pada 8 Mac lalu, Arab Saudi mengenakan perintah berkurung ke atas Qatif, wilayah pengeluaran minyak terletak di timur negara itu, selepas 11 kes positif Covid-19 dikesan di kawasan terbabit.

Kesemua kes Covid-19 yang dikesan di negara itu berasal dari Qatif.

Related posts

Leave a Comment

error: Content is protected !!