DUNIA semakin cemas. Banyak negara telah mengenakan perintah berkurung. Pelbagai sekatan dikenakan. Kematian akibat koronavirus Covid-19 terus meningkat. Hampir 8,000 orang meninggal dunia manakala lebih 198,000 dijangkiti.
Beberapa negara yang sebelum ini tidak mencatatkan sebarang kes turut dijangkiti dengan kes pertama seperti Barbados, Gambia dan Montenegro.
Di Amerika Syarikat, 1,823 kes baharu dicatatkan dan 25 lagi kematian dilaporkan. Rumah Putih juga mengeluarkan arahan supaya orang ramai mengelak bersama kumpulan lebih 10 orang . Mereka juga dinasihatkan menjauhi bar dan restoran.
Di Itali, sebanyak 345 kematian dicatatkan di negara itu dalam tempoh 24 jam
sekali gus menjadikan angka kematian akibat pandemik tersebut meningkat kepada 2,503 orang sejak kes pertama dikesan di negara itu pada 21 Februari lalu.
Kes positif pula meningkat kepada 31,506 setakat Selasa dengan 3,526 kes baharu.
Ketua Pengarah Agensi Farmaseutikal Itali (AIFA), Nicola Magrini memaklumkan pihaknya akan mula menjalankan ujian terhadap ubat Tocilizumab, yang biasanya digunakan untuk merawat rheumatoid arthritis, ke atas 330 pesakit.
Menggunakan keupayaan etika terbaik kami untuk menyelamatkan sebanyak mungkin nyawa, dengan menjalankan usaha yang ada harapan untuk berjaya tetapi masih di peringkat ujian, kami melakukan dua jenis kajian ini.