RASA simpati membaca luahan rakyat Malaysia dari Taiping, Perak, Norul Ridzuan Zakaria, 50 yang kini ‘terperangkap’ di Itali, negara di luar China yang setakat ini mencatatkan kematian tertinggi akibat wabak Covid-19.
“ Kami mahu pulang ke Malaysia, keadaan di sini (Itali) tidak terkawal dengan jumlah mereka yang dijangkiti dan meninggal dunia akibat Covid-19 meningkat secara mendadak,” katanya.
Beliau merayu kerajaan Malaysia mengeluarkan segera rakyat Malaysia di Itali, kerana kebanyakan hospital sudah tidak dapat menampung jumlah pesakit akibat terlalu ramai yang dijangkiti wabak.
Angka kematian akibat wabak Covid-19 di Itali menyaksikan peningkatan mendadak iaitu seramai 250 orang dalam tempoh 24 jam yang lalu, menjadikan ia negara tertinggi dari segi kematian harian pada Jumaat.
Sehingga tengah hari ini (Ahad 15 Mac 2020), Channel News Asia mencatatkan di Itali jumlah kematian adalah 1,441 dengan 21,157 kes.
Norul Ridzuan yang bekerja sebagai pembekal untuk anak syarikat agensi angkasa Itali berkata, mereka sudah dikuarantin bermula pertengahan Februari manakala semua kedai, sekolah, universiti serta pejabat ditutup sepenuhnya.
“Kerajaan Itali hanya membenarkan seorang anggota keluarga untuk keluar rumah membeli barangan keperluan. Hanya pasar raya yang dibuka, malah kami terpaksa menunggu di luar pasar raya dengan 10 orang saja dibenarkan masuk dalam satu-satu masa,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Sepanjang saya bersama Kumpulan Utusan, Norul Ridzuan kerap menyumbang tulisannya mengenai sains dan teknologi dan sering menjadi rujukan untuk berita dan rencana berkaitan.
Beliau yang sudah menetap di Torino, sebuah daerah di utara Itali selama lima tahun berkata, di hospital pula, keadaan sesak dengan pesakit, malah ada antara mereka terpaksa ditolak kerana wad tidak mencukupi.
“Bayangkan, rakyat mereka sendiri pun terpaksa ditolak (untuk rawatan), inikan pula rakyat luar. Sebab itu saya memilih untuk keluar secepat mungkin dari Itali kerana keadaan di sini sudah tidak terkawal, bayangkan dalam tempoh sehari jumlah jangkitan mencecah 800 hingga 1,000 orang,” katanya.
Bapa kepada dua anak itu berkata, Kedutaan Malaysia di Rom sudah mewujudkan kumpulan WhatsApp khas dan meminta nama rakyat Malaysia yang mahu pulang segera ke tanah air.
“Ada yang memilih tidak mahu pulang kerana mempunyai beberapa kekangan, tetapi saya tetap mahu pulang kerana memikirkan keselamatan keluarga,” katanya seperti disiarkan Harian Metro pada 13 Mac lalu.
Beliau telah menghubungi Menteri Luar Hishammuddin Hussein dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin melalui Facebook supaya mereka prihatin dengan nasib rakyat Malaysia di Itali.
“Alhamdulillah, Datuk Seri Hishammuddin memberi maklum balas positif dengan membalas komen di Facebook saya,” katanya.
Menurutnya, ketika ini penduduk di bandar terkenal seperti Milan, Venice yang terjejas paling teruk sudah keluar dan berhijrah ke bandar lain.
“Keadaan di Milan dan Venice kosong ketika ini berikutan rata-rata penduduknya sudah berhijrah ke bandar lain. Disebabkan itu kami takut kemungkinan ada antara mereka yang membawa wabak berkenaan ke daerah lain,” katanya.
(Laporan media Itali pada 8 dan 9 Mac lalu)