Darurat 15 hari di Sepanyol

MADRID: Sepanyol akan melaksanakan perintah berkurung terhadap 47 juta penduduknya secara separa dengan mengenakan darurat selama 15 hari bagi memerangi wabak Covid-19.

Perdana Menteri Pedro Sanchez dalam ucapan menerusi siaran televisyen di seluruh negara semalam (Sabtu) berkata, kerajaan akan melakukan apa sahaja usaha untuk mengurangkan kesan akibat wabak itu.

Katanya, seluruh warga Sepanyol perlu tinggal di rumah kecuali untuk membeli makanan, ubat-ubatan, ke hospital atau bekerja atau menguruskan hal kecemasan lain, dengan beberapa had kebebasan bergerak bermula pada Sabtu.

Jelasnya, premis seperti bar, restoran, kedai-kedai menjual apa-apa barangan selain makanan dan bahan keperluan utama termasuk pusat persidangan dan semua aktiviti rekreasi dan sukan akan ditutup.

Malah, premis aktiviti waktu lapang seperti panggung wayang, teater, kolam renang atau gelanggang bola sepak juga akan ditutup. Pengangkutan awam juga akan dikurangkan, dengan operator kereta api jarak jauh diarah mengurangkan perkhidmatan mereka.

Kementerian Dalam Negeri Sepanyol juga akan mengawal semua pasukan polis, termasuk pasukan tempatan dan wilayah, di bawah kecemasan 15 hari, dan tentera turut diletakkan dalam keadaan bersedia dalam sebarang kemungkinan.

Bagi pelaksanaan kementerian kesihatan dan pengangkutan pula, pengambilalihan kuasa juga akan dilakukan di seluruh negara.

Sepanyol adalah negara kedua di Eropah yang terkesan dengan Covid-19 selepas Itali.

Menurut agensi berita tempatan, seramai 193 kematian dan 6,250 kes dilaporkan setakat ini, dengan 120 kematian yang dilaporkan pada Jumaat. Isteri Perdana Menteri Pedro Sánchez juga dijangkiti selepas saringan pada Sabtu.

Begona Gómez dan Sanchez bagaimanapun dilaporkan berada dalam keadaan baik.

Dalam perkembangan lain, dua lagi menteri dalam Kabinet Sánchez iaitu dalam Kementerian Kesaksamaan dan Hal Ehwal Wilayah turut dijangkiti.

Sebelum ini, Menteri Kesaksamaan Sepanyol disahkan positif COVID-19 dan dikuarantin bersama isterinya dan Timbalan Perdana Menteri.

Related posts

Leave a Comment