Lebih 3,000 peserta himpunan tabligh ke klinik

KUALA LUMPUR – Sehingga 7 petang ini,  seramai 4,942 peserta yang menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling telah dikenal pasti. Daripada jumlah itu, 3,069 telah datang ke klinik kesihatan untuk pemeriksaan dan saringan manakala 137 orang telah dirujuk ke hospital.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan, hanya 1,634 mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan dan telah diambil sampel.

“Manakala 2,932 peserta diarahkan menjalani home surveillance (pengawasan dan pemerhatian) di rumah masing-masing untuk tempoh 14 hari dari tarikh akhir menghadiri perhimpunan tabligh. Penyiasatan dan pengesanan peserta perhimpunan masih diteruskan,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, 41 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan setakat 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah kes kumulatif di negara ini meningkat kepada 238.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata kesemua kes baharu itu adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh membabitkan 37 kes dalam kalangan Pesakit Dalam Siasatan (PUI) dan empat kes lagi daripada kontak rapat.

“Sehingga kini, seramai 203 kes masih dirawat di wad, dengan lima daripadanya sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan. Kes-kes ini juga telah diberikan rawatan anti-viral.

“Setakat hari ini, sebanyak 1,321 sampel dari pesakit influenza-like-illness (ILI) dan severe acute respiratory infection (SARI) telah diuji di IMR, semua makmal kesihatan awam dan hospital. Daripada jumlah itu, tiga sampel disahkan positif jangkitan COVID-19,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan dua kes positif COVID-19 sebelum ini (kes ke-35 dan 61), telah pulih dan dibenarkan keluar wad Hospital Sungai Buloh.

Angka terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih sepenuhnya setakat hari ini ialah 35 kes.

Beliau juga menasihatkan orang awam untuk kekal tenang dan tidak menyebarkan maklumat tidak sahih, berkaitan perhimpunan tabligh dari 28 Februari hingga 1 Mac lalu, demi menjaga keharmonian umum.

Related posts

Leave a Comment