5,000 sertai himpunan tabligh diminta beri kerjasama

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menyeru kira-kira 5,000 peserta yang menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling, Kuala Lumpur pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu tampil dan memberi kerjasama bagi memastikan jangkitan Covid-19 tidak terus merebak.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan maklumat awal, perhimpunan tabligh itu membabitkan anggaran 10,000 orang dari beberapa negara termasuk Malaysia.

“Peserta dari Malaysia dianggarkan melebihi 5,000 orang. Maklumat ini berdasarkan kes positif yang disahkan Covid-19 di Brunei melalui International Health Regulations (IHR) Focal Point (FP) Brunei yang memaklumkan kepada IHR FP Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau memberitahu semua Jabatan Kesihatan Negeri sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai perkara itu di negeri masing-masing.

IHR FP Brunei memaklumkan kepada IHR FP Malaysia mengenai kes yang disahkan Covid-19 yang dikesan di negara itu. Kes tersebut dilaporkan mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling.

Berikutan kes di Brunei, KKM menasihatkan mereka yang telah menghadiri perhimpunan tabligh itu supaya mengambil langkah berikut:

i. sekiranya mengalami gejala diminta menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran atau CPRC Negeri atau menghubungi Virtual Health Advisory (kolaborasi KKM bersama DoctorOnCall) melalui pautan di laman sesawang KKM, untuk nasihat lanjut. KKM juga telah berkolaborasi dengan BookDoc di mana orang ramai boleh muat turun aplikasi BookDoc melalui Google Play store (untuk android sahaja) untuk mendapatkan perkhidmatan “Health Advice” dengan doktor secara percuma melalui chat sahaja. 

Sentiasa mengamalkan penjagaan kebersihan diri termasuk kerap mencuci tangan dengan cara yang betul, mengamalkan etika batuk dan bersin yang baik serta memakai topeng muka (face mask);

DAN

ii. sekiranya tidak mengalami gejala untuk mengamalkan jarak sosial (social distancing) sekurang-kurangnya 1 meter dari orang lain selama 14 hari dari tarikh akhir menghadiri perhimpunan tersebut.

KKM  juga menggesa agar:

i. semua perhimpunan yang melibatkan orang ramai (mass gathering) ditangguhkan bagi mencegah kemungkinan jangkitan.

ii. sekiranya mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan, dinasihatkan agar tidak menghadiri program yang melibatkan orang ramai atau tempat yang padat termasuk aktiviti keagamaan;

iii. individu yang bergejala dinasihatkan agar menjarakkan diri (social distancing) sekurang-kurangnya satu meter bila berhadapan dengan individu lain;

iv. orang ramai tidak melancong ke negara-negara yang sedang mengalami wabak jangkitan COVID-19; dan

v. rakyat Malaysia yang mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan tidak melawat kawasan-kawasan lain di Malaysia semasa cuti sekolah.

Related posts

Leave a Comment