Kematian pertama di Indonesia

JAKARTA: Indonesia mencatatkan kematian pertama akibat wabak Covid-19 apabila seorang wanita, warganegara asing berusia 53 tahun dilaporkan meninggal dunia hari ini.

Pegawai Kementerian Kesihatan, Achmad Yurianto, berkata, mangsa mengalami keadaan kritikal selepas dimasukkan ke hospital.

Yurianto, bagaimanapun, tidak memaklumkan sejarah perjalanan dan kedudukan wanita terbabit ketika disahkan meninggal dunia.

Katanya, berita itu telah dimaklumkan kepada pihak kedutaan untuk pengurusan mayat mangsa.

Sementara itu kes positif virus Covid-19 di Indonesia terus meningkat kepada 27 kes di mana, sebanyak lapan lagi kes positif virus itu disahkan hari ini, berbanding 19 kes yang dicatatkan semalam.

Kebanyakan kes positif COVID-19 di Indonesia adalah dalam kalangan mereka yang pulang dari luar negara.

Indonesia kini mengetatkan lagi pemeriksaan kesihatan di semua pintu masuk antarabangsanya, selain menyekat pelawat dari beberapa negara seperti Iran, Korea Selatan dan Itali, bermula 8 Mac lepas.

Pada 2 Mac lepas, Indonesia, negara berpenduduk lebih 270 juta orang itu turut tersenarai negara dijangkiti virus itu selepas dua warganegaranya di Depok (kota berhampiran Jakarta) disahkan positif COVID-19.

(Foto hiasan)

Related posts

Leave a Comment