Parlimen pilih PM 2 Mac

PUTRAJAYA 27 Feb  – Persidangan khas Dewan Rakyat akan diadakan pada 2 Mac bagi menentukan calon yang mendapat majoriti untuk menjadi perdana menteri baharu, kata Dr. Mahathir Mohamad.

Perdana menteri interim itu berkata sekiranya persidangan khas itu gagal mencapai keputusan, pilihan raya mengejut akan diadakan.

”Pilihan raya mengejut akan diadakan sekiranya sesi Parlimen khas 2 Mac ini gagal mencapai majoriti sewajarnya untuk memilih PM,” katanya selepas mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 di  Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Sementara itu, Dr Mahathir  menerima kembali jawatan sebagai pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini, kata Setiausaha Agung parti itu Marzuki Yahya.

Perkara itu disahkan oleh Marzuki dalam satu pesanan ringkas menerusi WhatsApp kepada Bernama.

“Ya,” katanya tanpa mengulas lebih lanjut.

Beliau ditanya sama ada Dr Mahathir telah kembali sebagai pengerusi Bersatu.

Bagaimanapun, masih belum ada pengesahan daripada Dr Mahathir mengenai perkembangan itu.

Isnin lepas, Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan pada masa sama  jawatannya sebagai pengerusi Bersatu dengan serta-merta. Sejurus kemudian pemimpin-pemimpin lain parti meminta beliau membatalkan hasratnya itu dan kembali memimpin parti dan negara.

Related posts

Leave a Comment