KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) menamakan Ahli Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri berikutan peletakan jawatan oleh Dr. Mahathir Mohamad.
Anwar yang juga Presiden PKR berkata, keputusan membabitkan perlantikan jawatan Perdana Menteri dan penubuhan kerajaan baharu kini diserahkan sepenuhnya di atas pertimbangan Yang di-Pertuan Agong.
“Ekoran cubaan menubuhkan kerajaan secara pintu belakang, Tun Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai PM. Keputusan Bersatu keluar dari Pakatan Harapan pada Isnin lalu, disusuli peletakan jawatan Tun sebagai Pengerusi Bersatu.
“Majlis Presiden PH menjemput Tun Dr Mahathir untuk mempengerusikan mesyuarat itu bagi memulihkan kerajaan Pakatan Harapan, namun Tun tidak bersetuju hadir.
“Justeru itu, keputusan Majlis Presiden menetapkan calon Perdana
Menteri PH ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya ketika membacakan kenyataan media Majlis Presiden PH dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR petang ini.
Gabungan PH terdiri daripada DAP yang mempunyai 42 kerusi, PKR 39 dan Amanah 11.