Covid-19 : Kes positif, kematian di luar China

HUBEI: Beberapa negara di dunia terus melaporkan kes baharu malahan kematian akibat jangkitan Covid-19  dengan China terus mencatatkan peningkatan.

China mengumumkan 630 kes baharu di wilayah Hubei yang dikesan pada Sabtu menjadikan angka keseluruhan kes di wilayah itu sebanyak 64,084.

Angka itu menunjukkan peningkatan 366 kes berbanding hari sebelumnya.

Jumlah pesakit yang meninggal dunia di Hubei meningkat kepada 2,346, iaitu kenaikan 96 orang daripada hari sebelumnya.

Sementara itu beberapa kes baharu dan kematian dilaporkan di beberapa negara akibat penularan wabak Covid-19 itu.

Semalam, Iran melaporkan kematian kelima akibat wabak itu sementara 10 lagi kes positif baharu dicatatkan iaitu dua di Tehran dan bakinya di bandar Qom. Jumlah terkini kes positif meningkat kepada 28 kes setakat ini.

Di Itali, jumlah kes kini 77 dengan lima orang doktor dan 10 orang awam disahkan positif Covid-19 di Lombardy.  Satu lagi kematian ( kedua ) dicatatkan melibatkan  wanita berusia 77 tahun dari Lombardy.

Berikutan itu, 10 buah kampung di selatan Milan ditutup untuk sebarang aktiviti.

Di Singapura, Kementerian Kesihatan Singapura (MOH)  mengesahkan tiga lagi kes jangkitan COVID-19 disahkan di republik itu, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 89 kes.

Satu daripada kes yang disahkan hari ini melibatkan seorang warga Singapura berusia 32 tahun yang merupakan kumpulan yang dibawa pulang daripada Wuhan pada 9 Februari lalu.

Di Korea Selatan, sebanyak 123 kes baharu dicatatkan menjadikan 556 kes sementara Jepun mengesahkan 23 lagi kes menjadikan 133 kes.

(Grafik sehingga 12 tengah hari 23.02.2020)

Related posts

Leave a Comment