ISU peralihan kuasa Perdana Memteri (PM) menjadi tumpuan malam ini. Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dijangka memuktamadkan proses peralihan ini. Hakikatnya isu ini bukanlah agenda utama mesyuarat kerana PM dan bakal PM sudah bersetuju dengan formula peralihan.
Cuma timbul kegelisahan dan keraguan apabila ada unsur-unsur di luar PH malahan dalaman PH yang didakwa boleh menjejaskan persefahaman ini. Maka formula penyelesaian yang tuntas dan meyakinkan amat perlu. Adakah formula peralihan itu perlu dimuktamadkan secara bertulis atau sebaliknya?
Mungkin parti komponen PH perlu membuat penegasan sekali lagi. Nyatakan secara ‘hitam putih’ jawatan PM dan Timbalan PM. Anwar tidak menghadapi masalah dengan sokongan padu DAP, PKR dan Amanah. Bersatu pula boleh menyuarakan supaya Dr. Mahathir menamatkan tempoh sepenggal.
Apa pun, keputusan malam ini boleh dianggap sebagai pusingan pertama peralihan yang akan ‘mengesahkan’ Anwar sebagai PM kelapan. Bila? Selepas
Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada November ini. Itu janji Dr. Mahathir kepada Anwar yang pernah menjadi timbalannya semasa PM-4.
Tidak perlu dipertikaikan malahan Anwar bermurah hati memberi laluan enam bulan lagi kepada Dr.Mahathir. Bakal PM juga tidak keberatan untuk Dr. Mahathir kekal di dalam Kabinetnya nanti.
Justeru tidak ada apa yang luar biasa malam ini kecuali berlaku sesuatu di luar persetujuan yang sudah disepakati oleh PM dan bakal PM. Maksudnya jika Majlis Presiden memutuskan PM sedia ada perlu berundur seperti dijadualkan pada peringkat awal – Mei, cukup dua tahun seperti dijanjikan.
Di atas kertas atau janji mulut, Anwar tidak menghadapi rintangan. Dr. Mahathir sudah berulang kali mengulangi ayat yang sama untuk memenuhi janjinya. Tetapi ada ketikanya Dr. Mahathir juga menyebut “akan melepaskan jawatan apabila keadaan negara semakin baik. Mungkin dua tahun, mungkin tiga tahun”.
Mungkin agak keterlaluan jika dikatakan setiap bulan isu jawatan PM ke-8 dan janji itu diulangi tetapi realitinya sudah banyak kali. Kenapa? Sebabnya masih ada keraguan dan kegelisahan dalam kalangan banyak pihak. Mungkin mereka faham ‘rekod’ Dr. Mahathir sebelum ini.
Apa pun keputusan malam ini, perkembangan yang lebih penting adalah ‘esok’, bulan depan sehinggalah menjelang dan sesudah APEC. Macam-macam boleh berlaku. Itulah tempoh yang lebih mencabar dan kritikal dalam proses peralihan.
Selain usaha Pas untuk membawa usul “undi percaya” bagi menyokong kepemimpinan Dr. Mahathir ke persidangan Dewan Rakyat bulan depan, Anwar dan sekutu kuatnya dalam PH dihantui dengan tindak tanduk pembangkang. Tidak kurang juga ‘pergolakan’ dalaman PKR.
Kerisauan atau kebimbangan itu tetap ada apabila terdapat dakwaan bahawa Pas, sekumpulan dari UMNO dan sebilangan kecil dari PKR yang berusaha mendapatkan tandatangan akuan berkanun (SD) dalam kalangan anggota Dewan Rakyat bagi menyokong Dr. Mahathir sehingga akhir penggal.
Anwar sebelum ini berkata, Dr Mahathir tidak terlibat dalam usaha itu malah mengulangi kenyataan tegas bahawa Dr Mahathir akan melepaskan jawatan seperti yang dijanjikan.
“Saya turut memaklumkan kepada Perdana Menteri bahawa memandangkan wujud muslihat licik sedemikian maka pimpinan PH dan beberapa rakan lain akan tetap mempertahankan perjanjian Muafakat PH yang dimeterai pada 7 Januari 2018, yakni tegas menyokong kepimpinannya selaku Perdana Menteri Ketujuh dan saya sebagai Perdana Menteri Kelapan,” katanya.
Fokus kini lebih tertumpu kepada mesyuarat Parlimen bulan depan. Adakah benar sesuatu akan berlaku di Parlimen berhubung peralihan kuasa ini? Bersediakah Parlimen menerima usul percaya yang dipelopori oleh Pas?
Isu peralihan kuasa ini tidak harus dibiarkan berlarutan kerana ia sedikit sebanyak mengganggu proses pembangunan negara apabila banyak masa terbuang untuk membincangkan isu ini. Sudah hampir dua tahun parti politik asyik bercerita mengenai peralihan ini. Cukuplah.
Peralihan kuasa ini perlu dimuktamadkan. Pertamanya melalui persefahaman yang diyakini oleh kedua-dua pihak, kedua melalui undi di Parlimen dan pilihan terakhir membentuk semula sebuah kerajaan yang benar-benar stabil serta mempunyai majoriti yang lebih baik melalui pilihan raya.
Jika tidak rakyat Makaysia akan terus dihidangkan dengan pertikaian politik sehingga Pilihan Raya Umum akan datang. Apa nak jadi dengan Malaysia?
(Juga boleh dibaca di bebasnews.my)