Mati mandatori : Lihat jumlah mangsa pengedar dadah

MEMANG wajar undang-undang serta dasar berkaitan penyalahgunaan dadah dikaji semula. Matlamat akhir supaya pengedar dan penagih takut melakukan kesalahan. Benar ada yang tidak takut dengan undang-undang atau hukuman tetapi ketegasan itu tidak boleh dikendurkan.

Justeru tidak hairanlah ada pihak tidak setuju hasrat kerajaan untuk menilai dan mengkaji semula hukuman mati mandatori bagi kes dadah.

Menurut Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad, undang-undang berkaitan pengedaran dan penyalahgunaan dadah itu dikaji mengikut kesesuaian trend kegiatan berkaitan dadah semasa. Ketika ini hukuman kesalahan penyalahgunaan dadah hanyalah mati mandatori. Kononnya, hukuman itu terlalu keras.

“Kita kaji undang-undang kerana ia amat keras iaitu kalau didapati sesiapa memiliki sekian banyak dadah maka hukuman yang boleh dijatuhkan adalah hukuman mati.

Ramai yang berpendapat ia tidak berkesan kerana masih ada yang mencari duit yang tidak halal dengan mengedar dadah,” katanya.

Menurut Dr. Mahathir, disebabkan hukuman mati mandatori, hakim tidak ada hak menjatuhkan hukuman lain. Maka ada yang berpendapat hukuman mati itu terlalu keras dan perlu dipinda, mungkin untuk penjara seumur hidup.

Berbanding hukuman mati, adakah penjara seumur hidup itu boleh menginsafkan? Apakah rasional di sebalik ‘meringankan’ hukuman itu? 

Humuman mati mandatori mungkin hanya melibatkan satu jiwa iaitu pengedar itu sendiri. Jika pengedar berkeluarga, kesannya akan turut dirasai seluruh anggota keluarga itu. Tetapi itulah risikonya. Berani buat berani tanggung. 

Lihat pula kesan akibat tindakan pengedar itu mengedar dadah itu. Ramai penagih dilahirkan yang akhirnya mungkin bertukar menjadi penjenayah sehingga kehidupan mereka musnah. Tidak perlu dihuraikan satu persatu kesan buruk akibat ketagihan ini sama ada kepada penagih, keluarga, masyarakat dan negara. 

Semua ini tidak berlaku tanpa dadah yang puncanya adalah pengedar yang berani mengedar dadah. Pengedar adalah puncanya. Maka golongan inilah yang perlu dihukum dengan seberat-beratnya termasuk hukuman mati mandatori. Tidak perlu kompromi kerana mereka juga tidak kompromi soal pengedaran.

Harus diingat, jika seorang pengedar mati di tali gantung tetapi ada jiwa yang bukan penagih terkorban angkara penagih yang bertindak ganas untuk mendapatkan wang bagi membeli dadah. Lebih malang apabila ibu bapa dan anggota keluarga sendiri menjadi mangsa. Begitulah kesannya akibat dadah. 

Adakah pengedar boleh terlepas hukuman mati sedangkan angkaranya menyebabkan ramai yang menderita sehingga membawa maut? Bukan maut kerana ketagihan dadah semata-mata tetapi menjadi mangsa bunuh oleh penagih yang bertukar menjadi penjenayah.

Justeru, hukuman mati mandatori ini bukanlah sesuatu yang kejam sebaliknya pengedar itu sendiri secara tidak langsung lebih kejam. Dadah yang diedar boleh membunuh banyak nyawa.

Seperti kata Exco Wira Putra, Haziq Aizuddin Dato Subhi, penglibatan mana-mana individu dalam aktiviti dadah ini bermakna mereka terlibat secara tidak langsung memusnahkan masa depan anak bangsa!

Dalam kenyataannya, Wira Putra berpendapat, pindaan seperti ini hanya akan membuka ruang dan peluang kepada peluasan kegiatan jenayah ini. Hukuman  mati bukanlah bertujuan menghukum semata tetapi juga sebagai medium pencegahan agar orang awam tidak terlibat atau mendekati aktiviti seperti ini

Wira Putra mahu kerajaan bertegas dan berharap tidak ada udang di sebalik batu dalam isu ini hanya untuk mempertahankan individu atau kumpulan tertentu yang berkepentingan.

Related posts

Leave a Comment