APABILA terbaca laporan mengenai wakil rakyat Sabak ‘mengambus’ dirinya dengan padi, saya teringat kisah lampau bermain longgokan padi yang dijemur di atas jalan raya di tepi bendang Kampung Terus, Penanti. Emak dan ayah akan menegur kerana bimbang miang. Jerami padi yang dikumpul juga menjadi tempat bermain sementara menunggu dihumban ke dalam lori untuk dijual. Miang tetapi seronok.
Saya tidak pasti bagaimana keadaan apabila dikambus dengan padi. Miang juga rasanya. Biar pun miang, gimik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak, Ahmad Mustain Othman secara simbolik telah menyampaikan mesejnya kepada barisan kepemimpinan dalam sektor pertanian yang kebetulan juga memegang jawatan-jawatan penting dalam parti Amanah.
Gimik ADUN Amanah itu mengingatkan semula kisah di pentas Maeps Serdang. Menyelak semula gimik yang dipersembahkan setahun yang lalu itu, teringat bagaimana air mata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub berguguran selepas membaca warkah rintihan Haji @ Wak Ibas Hamud dari Parit 10 Sungai Besar, Selangor yang mewakili petani, nelayan dan penternak.
Apa khabar Wak Ibas dan rakan-rakan lain? Sudah terbelakah nasib kalian selepas Majlis Pelancaran Hala Tuju Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani: Prioriti dan Strategi 2019 setahun yang lalu?
Tidak kiralah sama ada gimik itu sekadar mengisi slot persembahan majlis pada hari berkenaan atau satu realiti, tindakan susulan perlu dilakukan. Jangan biarkan tindakan sekadar kata-kata? Susuli dengan gerak kerja sewajarnya setiap kali golongan ini berhadapan dengan masalah. Air mata menteri sudah kering tetapi air mata golongan petani, penternak dan nelayan bagaimana? Prihatinlah nasib mereka kerana mereka berhadapan dengan pendapatan yang terjejas dan kos sara hidup.
Selepas gimik itu, satu lagi gimik bagi menarik perhatian kementerian yang sama diketengahkan. Kali ini ‘di bawah pentas’ yang dipersembahkan oleh orang politik, wakil rakyat yang juga Ketua Amanah Sabak Bernam,. ADUN ini seangkatan atau sekapal dengan menteri yang merupakan Timbalan Presiden Amanah. Gimik kali ini bukan dalam bentuk warkah tetapi tindakan mengambus diri dalam padi. Mungkin pengalaman sebagai (jika) anak pesawah, tidak timbul soal miang.
Menurut laporan Harlan Metro 13 Februari 2020, ADUN Sabak melakukan gimik itu kerana kecewa dengan ‘janji manis’ dari pihak yang sepatutnya bertanggungjawab menyelesaikan masalah dihadapi pesawah susulan serangan penyakit karah tangkai. Menerusi status di Facebooknya, Ahmad Mustain memaklumkan tindakan itu dilakukan untuk kebaikan rakyat di DUN yang diwakilinya.
“Apabila nasib pesawah tidak dibela, lebih baik mereka dikambus hidup-hidup,” katanya yang mengundang pelbagai reaksi dari netizen. Sebelum itu, Ahmad Mustain turut memuat naik paparan mesej meluahkan kekecewaan seorang pesawah susulan hasil pengeluaran padi jauh merosot sehingga ada segelintir daripadanya terpaksa membiarkan padi tidak dituai hasilnya.
“Apa yang diluahkan pesawah itu adalah realiti sebenar yang dihadapi pada musim tanaman kali ini.Kepada Yang Berhormat (YB) Exco Pertanian (Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor), kami tidak mahu lagi dialog dan janji manis. Kami mahu tindakan bersepadu selesaikan masalah (kerugian dialami pesawah) yang berlarutan sejak lapan musim,” katanya.
Tahniah Ahmad Mustain. Sudah pasti sebagai menteri dan Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin akan memberi perhatian yang lebih terhadap wakil rakyatnya itu. Bukan setakat menteri, pihak berkuasa lain juga boleh bersama Salahuddin mencari jalan keluar. Salahuddin mempunyai ‘angkatan tenteranya’ sendiri. Apalah sangat masalah itu berbanding kekuatan pentadbiran yang ada di bawahnya.
Dengan kekuatan itu, sudah tentu isu peringkat daerah atau negeri boleh ditangani bersama. Pengerusi Amanah Negeri, Ir Izham Hashim boleh memberi perhatian yang sama berdasarkan kedudukannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani Selangor. Apa guna jawatan itu diamanahkan kepadanya jika tidak mampu bertindak.
Tidak cukup dengan menteri dan exco, isu ini juga boleh difikir bersama oleh Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Mazlan Aliman yang juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi Amanah. Begitu juga Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangssaan (NAFAS) Phahrolrazi Mohd Zawawi, juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi Amanah merangkap Pengerusi Amanah Kedah, negeri jelapang padi di negara ini.
Dengan kekuatan kepemimpinan seumpama ini, bukan setakat isu padi malahan isu-isu lain yang berkaitan golongan ini mampu diselesaikan. Salahuddin memiliki kekuatan pentadbiran dan politik bagi menguruskan kementeriannya. Inilah kelebihan melantik orang politik. Amat silap kenyataan pembangkang suatu masa dulu yang menegaskan tidak ada lagi lantikan politik ke atas syarikat atau agensi berkaitan kerajaan.
Diharapkan Salahuddin dan ‘tenteranya’ mampu menyelesaikan masalah golongan jni. Memetik semula reaksi Salahuddin selepas membaca warkah Wak Ibas: “Saya berjanji selagi hayat dikandung badan, saya akan melaksanakan tanggungjawab dan amanah ini. Nafas petani adalah nafas saya, keringat petani adalah keringat saya dan darah petani adalah darah saya,” .
Semoga janji itu ditepati, tidak seperti janji-janji di jalanan oleh sesetengah pemimpin pembangkang suatu masa dahulu. Laksanakan amanah yang diberi dengan sebenar-benarnya, bukan sekadar amanah kerana mewakili parti bernama Amanah.