PENULARAN wabak Covid-19 (koronavirus) akan memberi kesan yang ketara kepada ekonomi, kata Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong.
“Kesannya akan ketara, sekurang-kurangnya dalam beberapa suku akan datang. Ia merupakan penularan besar. Saya rasa ia sudah melampaui Sars,” katanya.
Situasi ini disebabkan ekonomi rantau ini lebih saling berkait terutama melibatkan China, yang menjadi pusat wabak itu.
“Saya tidak boleh kata sama ada akan terdapat kemelesetan atau tidak. Ia mungkin berlaku, tetapi tentunya, ekonomi kita akan terjejas,” katanya kepada media semasa melawat Terminal 3 Lapangan Terbang Changi
Beliau berkata, kehidupan perlu diteruskan dengan mengambil langkah berhati-hati tetapi dengan membiat penilaian yang munasabah.
Sementara itu, PM Lee menghargai kakitangan perubatan dan kesihatan termasuk doktor, jururawat, dan pekerja penjagaan kesihatan yang menjaga pesakit setiap hari, terutama ketika wabak Covid-19 sekarang..
Beliau menyatakan penghargaan itu melalui satu nota Hari Kekasih yang diterbitkan di Facebook PM hari ini.
“Jagaan penuh kasih sayang dan komitmen anda begitu penting sekali. Kami semua berdiri dengan anda dan memberikan sokongan penuh kami,” tulis Lee.
Katanya , kumpulan petugas itu melakukan lebih daripada tanggungjawab mereka untuk memastikan Singapura kekal selamat.