Memartabatkan Bahasa Kebangsaan

TAHNIAH  kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Malaysia yang telah mengingatkan semula semua kakitangan awam untuk memperkasakan bahasa Kebangsaan dalam urusan perkhidmatan jabatan itu.

Diharapkan Pekeliling  Bilangan 1 Tahun 2020 itu dipatuhi sepenuhnya tanpa sebarang alasan.

Kita berharap tidak ada lagi alasan ‘Bagaimanapun…’ bagi memberi pengecualian atau kelonggaran untuk penggunaan bahasa  lain dalam semua urusan yang berkaitan dengan arahan yang terkandung dalam pekeliling itu.

Pekeliling yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman itu ditandatangani pada 15 Januari 2020.

Menurut pekeliling itu, agensi kerajaan bersama-sama pegawai hendaklah memastikan penggunaan bahasa Kebangsaan dalam sektor perkhidmatan awam dilaksanakan secara menyeluruh, digunakan dengan betul dalam semua urusan rasmi sama ada dalam bentuk tulisan atau lisan.

Urusan rasmi dalam negara termasuklah surat dalam negara, dokumen perjanjian dalam negara, urusan mesyuarat melibatkan kehadiran warganegara, penganjuran majlis rasmi melibatkan kehadiran warganegara Malaysia.

Bagi urusan rasmi antarabangsa, surat rasmi kerajaan digalakkan mengguna bahasa Kebangsaan dan disertakan terjemahan dalam bahasa Inggeris. 

Pegawai juga hendaklah melengkapkan diri dengan kemahiran dan pengetahuan bahasa Kebangsaan yang baik dari segi ejaan, sebutan, istilah dan tatabahasa serta menghayati aspirasi penggunaannya semasa berkomunikasi dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab.

Rakyat Malaysia juga perlu menyokong usaha ini dan belajar menggunakan bahasa Kebangsaan dengan betul supaya urusan semasa berkomunikasi di kaunter berjalan lancar.

Semoga arahan itu tidak sekadar menjadi pekeliling untuk dibaca atau ditampal di papan kenyataan.

Related posts

Leave a Comment