Papagomo didakwa menghasut

KUALA LUMPUR  2 Mei – Wan Muhammad Azri Wan Deris, 41 atau lebih dikenali Papagomo, didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan membuat kenyataan menghasut yang mendatangkan kebencian kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Bagaimanapun, bekas Exco Pemuda UMNO itu mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim, Siti Aminah Ghazali.

Mengikut pertuduhan, Papagomo didakwa membuat penerbitan menghasut menerusi aplikasi X ‘Sir Azri’ di sebuah kondominium di Bukit Bintang di sini, pukul 12 tengah hari, Isnin lalu.

Pendakwaan mengikut Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Pertuduhan ke atas Wan Muhammad Azri dibacakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairul Azreem Mamat, Mohd Sabri Othman dan Abdul Malik Ayob manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali dan Logen Eskander Abdullah.

Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Khairul Azreem, tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh, namun jumlah tinggi perlu ditetapkan jika ia dibenarkan atas faktor kesalahan membabitkan Yang di-Pertuan Agong.

“Pihak pendakwaan juga memohon perintah larangan supaya tertuduh tidak mengeluarkan sebarang komen atau kenyataan umum mengenai kes terbabit.

Alasan permohonan itu kerana jenis dan sifat kesalahan yang dibuat secara dalam talian dan ia bukan kesalahan biasa. Perintah larangan atau ‘gag order’ perlu bagi memastikan perjalanan kes tidak dikacau ganggu.

“Perintah ini perlu sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengekalkan ketenteraman awam dan memastikan tiada komen yang dapat menyebabkan provokasi antara satu sama lain,” katanya.

Peguam bela Papagomo, Muhammad Rafique Rashid Ali, berkata pertuduhan dihadapi anak guamnya itu adalah kesalahan yang boleh dijamin.

“Saya mohon mahkamah mengekalkan jaminan RM10,000 untuk keseragaman kesalahan kes sama sebelum ini.

“Untuk menggunakan ‘gag order’ seperti seolah-olah terjumlah kepada satu hukuman. Dengan rendah diri, saya memohon jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan perintah larangan ditolak,” katanya.

Siti Aminah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan Papagomo perlu melaporkan diri ke balai polis setiap bulan hingga kes selesai.

“Perintah larangan bersuara tidak dibenarkan dan mahkamah tetapkan 23 Mei ini untuk sebutan semula kes,” katanya.

Kelmarin, 30 April, Papagomo, ditahan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman di kediamannya di Setapak kerana disyaki mengeluarkan kenyataan mengaibkan Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Kenyataan itu dikesan dalam satu hantaran video berdurasi 2 minit 46 saat yang memaparkan Wan Muhammad Azri didakwa mempersoalkan tindakan YDPA bertemu pemilik kedai serbaneka KK Mart di Istana Negara.

Tangkapan dilakukan susulan laporan polis diterima berkaitan video berkenaan, daripada seorang peniaga berumur 41 tahun yang mengesan hantaran itu ketika melayari media sosial di rumahnya..

Nnn

Related posts

Leave a Comment