Bekalan makanan mencukupi

SEMALAM berlegar di media sosial kononnya, warga Singapura sibuk membeli-belah barang makanan. Pembelian panik kerana bimbangkan bekalan makanan berkurangan akibat wabak Koronavirus. Begitulah suasana di Singapura selepas kerajaan meningkatkan penilaian risk jangkitan Koronavirus daripada Kuning ke Jingga.

Khabarnya barang makanan seperti beras dan mi segera berkurangan di pasar raya. Gambar rak kosong tular di media sosial sehingga ke ruang WhatsApp Malaysia. Mungkinkah peniaga Malaysia juga perlu siap siaga lebih-lebih lagi kemungkinan warga Singapura menyeberang tambak untuk membeli keperluan mereka?

Berikutan situasi itu, Kerajaan Singapura memberi jaminan bahawa bekalan makanan adalah mencukupi, tidak perlu untuk berebut-rebut membeli bekalan.

Menteri Perdagangan dan Industri Singapura Chan Chun Sing berkata, rantaian bekalan bagi barang-barang penting kekal utuh, tidak ada risiko kekurangan bahan makanan penting atau barang keperluan isi rumah.

Melalui laman Facebooknya, Chan Chun Sing berkata: “Kita juga ada simpanan barang-barang keperluan nasional,”

Beliau sedar orang ramai bimbang selepas pengumuman kerajaan semalam bahawa pemerintah telah meningkatkan DORSCON (Keadaan Sistem Respons Wabak Penyakit) ke peringkat oren.

Beliau menjelaskan, pengumuman itu dibuat setelah ada beberapa kes tempatan, tiada kaitan dengan kes-kes sebelum ini atau sejarah perjalanan ke China,”

“…. ini adalah senario yang kita sudah jangka dan kita buat persediaan, dan kita akan laksanakan langkah-langkah tambahan bagi meminimumkan risiko jangkitan seterusnya,” katanya.

Semalam, Singapura mengesahkan tiga kes tambahan jangkitan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV) di negara itu, menjadikan kes keseluruhannya kini berjumlah 33.

Singapura meningkatkan penilaian risikonya dari DORSCON kuning kepada oren, memandangkan sudah ada beberapa kes jangkitan tempatan tanpa kaitan dengan kes-kes terdahulu atau sejarah perjalanan ke China.

DORSCON merupakan kerangka kerja ditanda dengan kod warna bagi menunjukkan keadaan semasa penyakit, di samping menetapkan apa yang perlu dilakukan bagi mengelak dan mengurangkan impak jangkitan.

Related posts

Leave a Comment