PUTRAJAYA 7 Feb. – Jumlah kes positif novel koronavirus 2019 (2019-nCoV) di negara ini kepada 15 setakat ini apabila satu lagi kes dikesan membabitkan seorang pelancong wanita berumur 59 tahun dari Wuhan, China
Wanita itu yang memasuki Makaysia pada 21 Januari lepas sebelum ini bersama-sama suami, anak lelaki dan menantunya telah tiba di Singapura pada 17 Januari dan kemudiannya ke Johor Bahru.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam sidang akhbar hari ini berkata, wanita itu mula mengalami gejala demam pada 26 Januari tetapi tidak mendapatkan kesihatan dan hanya mengambil ubat demam yang dibeli dari farmasi berhampiran penginapannya.
“Pada Rabu (5 Februari) beliau masih tidak sihat setelah ubat yang diambilnya habis. Pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Johor Bharu menerima makluman daripada pihak pengurusan penginapannya pada hari yang sama dan beliau dirujuk ke hospital bagi menerima rawatan lanjut,” katanya.
Ketika ini, wanita itu dirawat di wad isolasi Hospital Permai, Johor Bahru dan dalam keadaan stabil. Turut ditempatkan di situ adalah suami wanita itu yang berusia 66 tahun dan didapati tidak bergejala. Bagaimanapun, sampel calitan tekak telah diambil dan menunggu keputusan makmal.
“Wanita itu dijadualkan pulang ke China pada 4 Februari dengan menaiki penerbangan dari Johor Bahru ke Guangzhou, tetapi telah menangguhkannya. Namun, anak lelaki dan menantunya telah pulang ke China pada tarikh tersebut,” katanya.
Berikutan itu, pihak berkuasa sedang mengesan kontak pesakit ketika beliau menginap di pusat penginapan itu.
Setakat ini, 15 kes positif itu membabitkan 11 rakyat China dan empat rakyat Malaysia sementara 16 kes lagi masih menunggu keputusan makmal.