MULAI esok, Sabtu 8 Februari 2020, waktu solat Subuh di Pulau Pinang akan ditambah sebanyak lapan minit sama seperti dilakukan oleh negeri-negeri lain sebelum ini.
Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd Noor dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang pada 5 dan 6 Februari lalu.
Mesyuarat itu telah memperakukan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) ke-116 yang memutuskan perubahan waktu solat subuh itu yang perlu dilewatkan lapan minit.
Perubahan yang melibatkan seluruh negara itu menggunakan parameter altitud matahari pada 18° di bawah ufuk yang menyebabkan kepada perubahan waktu solat berkenaan.
Keputusan itu adalah berdasarkan penyelidikan komprehensif selama setahun oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang turut melibatkan pakar dari Universiti Malaya, Universiti Sultan Zainal Abidin dan Universiti Teknologi Mara.