Tambah 400,000 keping sehari

PUTRAJAYA 7 Feb. – Pengeluar tempatan akan mengeluarkan 400,000 keping topeng hidung dan mulut (tiga lapis) sehari bagi memenuhi permintaan pengguna dalam mengawal jangkitan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penambahan pengeluaran itu secara langsung mampu memenuhi keperluan pengguna sekali gus mengelak kejadian pembelian panik.

“Sebelum ini, 90 peratus pengeluaran tempatan tertumpu kepada produk untuk pembedahan dan kegunaan industri, namun susulan penularan koronavirus, permintaan topeng mulut dan hidung (tiga lapisan) meningkat dengan ketara di pasaran,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau turut menasihatkan peniaga supaya tidak menaikkan harga kerana topeng mulut dan hidung yang merupakan barang di bawah harga kawalan.

Sebelum ini ada laporan mengatakan bekalan tidak mencukupi. Ada kedai yang kehabisan stok. Di kawasan Bukit Bintang, ramai peniaga jalanan yang mengambil kesempatan menjual penutup hidung dan mulut ini, lebih-lebih lagi ini adalah kawasan tumpuan pelancong.

Diharap tidak ada peniaga yang mengambil kesempatan meletakkan harga yang tidak sepatutnya. Jangan jual melebihi harga kawalan. Ingat bahawa penguat kuasa kementerian akan mengambil tindakan terhadap mana-mana penjual yang cuba mengambil kesempatan melebihi harga kawalan.

Amat tidak wajar mengambil kesempatan terhadap kebimbangan masyarakat.

Related posts

Leave a Comment