Trump ulangi ancaman terhadap BRICS

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengulangi ancamannya untuk mengenakan tarif sebanyak 10 peratus ke atas import dari anggota kumpulan BRICS yang terdiri daripada negara membangun.

Trump mengumumkan tarif baharu itu pada 6 Julai lalu, dengan menegaskan bahawa ia akan dikenakan ke atas mana-mana negara yang berpihak kepada dasar anti-AS oleh kumpulan BRICS.

Beliau turut menyatakan komitmennya untuk mengekalkan status dolar sebagai mata wang rizab global dan berjanji tidak akan membenarkan penciptaan mata wang digital bank pusat di AS.

Kumpulan BRICS menampilkan diri sebagai platform diplomasi pelbagai hala ketika forum seperti G7 dan G20 semakin lumpuh akibat perpecahan dan pendekatan ‘Amerika Didahulukan’ oleh presiden AS sekarang.

Sejak mengeluarkan ancaman terbabit, Trump berulang kali mengeluarkan dakwaan tanpa bukti bahawa kumpulan BRICS ditubuhkan untuk merugikan AS dan peranan dolar sebagai mata wang rizab dunia.

Bagaimanapun pemimpin BRICS menolak dakwaan bahawa kumpulan itu bersifat anti-AS.

Februari lalu, Brazil membatalkan rancangan untuk memperjuangkan penggunaan mata wang bersama ketika memegang jawatan presiden BRICS.

Bagaimanapun kumpulan itu sedang giat membangunkan sistem pembayaran rentas sempadan dikenali sebagai BRICS Pay, yang akan memudahkan perdagangan dan transaksi kewangan menggunakan mata wang tempatan.

Kumpulan BRICS diperluaskan tahun lalu dengan menambah ahli seperti Iran dan Indonesia, di samping ahli asal iaitu Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan.

Pemimpin-pemimpin dalam sidang kemuncak di Brazil menyuarakan kritikan tidak langsung terhadap dasar ketenteraan dan perdagangan AS.

Related posts

Leave a Comment