15 JAN. 2020:
KES wabak influenza melibatkan sekolah mencatatkan peningkatan di Pulau Pinang, Perak dan Negeri Sembilan.
Di PULAU PINANG, 161 pelajar membabitkan 77 sekolah rendah dan menengah dijangkiti wabak berkenaan hari ini, berbanding 142 orang di 70 sekolah semalam. Daripada jumlah itu, sembilan pelajar sedang menerima rawatan di hospital.
Di PERAK, 57 pelajar dijangkiti influenza berbanding 37 semalam. Ia melibatkan 34 sekolah di lima daerah iaitu Manjung, Kinta, Larut, Matang dan Selama, Bagan Datuk dan Perak Tengah.
Di NEGERI SEMBILAN, jangkitan influenza turut merekodkan peningkatan kes kepada 22 berbanding 11 kes semalam. Penambahan 11 kes berkenaan dilaporkan membabitkan murid prasekolah di Port Dickson.
Kes Influenza Like Illness (ILI) juga menyaksikan peningkatan daripada 106 kes yang direkodkan semalam kepada 112 kes hari ini.
Di SELANGOR, 387 kes influenza melibatkan 149 sekolah direkodkan di negeri berkenaan.
Di JOHOR, kes influenza melibatkan murid dan pelajar sekolah kini direkodkan sebanyak 109 kes di mana Johor Bahru merekodkan kes tertinggi dengan 46 kes, diikuti Batu Pahat (19) dan Kulai (16).
Di MELAKA , 31 kes direkodkan melibatkan 29 murid, seorang kanak-kanak prasekolah dan seorang guru perempuan sejak Isnin lepas, namun tiada sekolah ditutup setakat ini.
Di KUALA TERENGGANU, tiada kes jangkitan baharu direkodkan setakat ini
selepas sembilan kes yang dilaporkan di Setiu pada 13 Januari lalu.
Di PAHANG, 37 orang dijangkiti influenza membabitkan 24 sekolah di sembilan daerah di negeri itu sejak 7 Januari lalu. Kes membabitkan 31 murid sekolah rendah, tiga murid prasekolah, dua pelajar sekolah menengah dan seorang guru.