MUFTI Perak Tan Sri Harussani Zakaria menjelaskan penjualan air Zamzam tidak dibenarkan mengikut hukum syarak.
Tambahnya, ini kerana Islam melarang pihak yang mengambil sesuatu barang tanpa kebenaran.
“Kalau ikut hukum syarak, salah lah kalau sudah tidak dibenarkan ‘tuan empunya badan’ (pihak Arab Saudi).
“Islam tidak benarkan orang ambil barang tanpa kebenaran,” katanya ringkas ketika dihubungi Malaysiakini.
Isu penjualan air zamzam kembali menjadi perbahasan awam selepas Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan amaran mengenai perkara itu.
Sebelum ini, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menjelaskan, penjualan air zamzam secara terbuka dibimbangi akan mengundang transaksi jual beli yang boleh mengakibatkan ruang eksploitasi ke atas agama Islam bagi tujuan perniagaan.
Beliau berkata sejak dahulu lagi penguatkuasa agama di negeri itu tidak membenarkan penjualan sebarang produk menggunakan nama Islam dijual berleluasa.
Mengulas mengenai pengharaman penjualan air zam zam secara muktamad, Mohd Asri berpendapat, beliau tidak menghalang penjualannya, namun penjual pula tidak boleh mengenakan keuntungan melalui penjualannya.
“Kalau sekadar mengenakan caj pengangkutan dan kos membawa masuk ke dalam negara itu tidak mengapa.
“Tetapi kalau ia dieksploitasi dengan dijual dengan keuntungan yang melampau, sehingga beralasan bahawa air terbabit sudah dijampi atau sebagainya ini yang tidak boleh,” katanya.
Sementara itu, Muft Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad, berkata air Zamzam diambil dari Makkah secara percuma untuk diminum kerana air itu adalah yang terbaik berbanding air biasa.
Katanya, adalah tidak sesuai air zamzam diambil dan dibawa ke negara ini semata-mata untuk diniagakan bagi mendapatkan keuntungan.
“Air zamzam diambil dari Masjidil Haram di Makkah secara percuma dan dibawa balik (ke Malaysia) untuk diminum kerana ia adalah air terbaik. Kenapa pula air itu hendak diniagakan?
“Tidak sesuai sama sekali air zamzam yang diambil untuk diniagakan kerana apabila aktiviti itu dijalankan, sudah tentu kemungkinan ada dalam kalangan pihak tertentu cuba mengeksploitasinya untuk mendapatkan keuntungan.
“Kemungkinan ada pihak menggunakan air paip dibotolkan tetapi mendakwa ia air zamzam, bertujuan bagi mengaburi pengguna,” katanya kepada BH.