Hargai rakyat, bukan cari alasan dangkal

PERSIDANGAN Dewan Rakyat berakhir minggu ini. Maka ahli-ahli Dewan Rakyat termasuk menteri, timbalan menteri bolehlah memberi fokus kepada perhimpunan parti politik yang mereka wakili khususnya UMNO, PKR dan Amanah. Pastinya mereka tidak akan ponteng daripada menghadiri perhimpunan itu. Tidak pasti pula sejauh mana pengisian perhimpunan itu. Adakah panas dengan perbahasan pelbagai isu? Atau mungkin ‘sesejuk’ Dewan Rakyat.

Merujuk kepada Dewan Rakyat, minggu lalu muncul beberapa kenyataan menarik mengenai perjalanan persidangan itu. Fokus kepada isu berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 bagi Kementerian Pembangunan Wanita , Keluarga dan Masyarakat. Pelbagai kenyataan yang akhirnya menjadi jenaka itu muncul berikutan kekecohan ketika undian bagi meluluskan RUU di bawah portfolio menteri berkenaan yang juga Timbalan Perdana Menteri, Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Ibarat di padang bola sebelum wisel penamat, RUU itu hampir ditolak sekiranya ‘pengadil’ tidak memberi masa tambahan atau pemain tidak melambatkan permainan sementara menunggu masa penamat. Ada juga laporan mengatakan kira-kira mudah undian mengambil masa yang lama walaupun tidak sesukar mengira undi pos semasa pilihan raya.

Punca ini berlaku apabila jumlah ahli Dewan Rakyat di pihak kerajaan berkurangan berbanding pembangkang. Mungkin wakil rakyat kerajaan ambil mudah walaupun sebelum itu bos besar mereka menasihatkan supaya hadir mesyuarat. Hadir bukan setakat mencatatkan kehadiran atau mendapatkan elaun tetapi mengambil bahagian, mendengar ucapan dan sebagainya. Hargailah amanah rakyat.

Malangnya, alasan yang diberi disebabkan ketidakhadiran itu amat dangkal. Agaknya beranikah mereka memberi alasan sedemikian di hadapan Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad.

Ketua Whip Pakatan Harapan (PH) dari PKR, Johari Abdul berkata, kekurangan kehadiran Ahli Parlimen kerajaan  adalah akibat ramai yang keletihan. Ayat ini mengingatkan saya terhadap kawan serumah semasa bujang dulu yang pernah berkata “ You baru balik menoreh ka?”. Sinis pertanyaannya apabila saya katakan letih selepas pulang dari pejabat.

Alasan lain yang diberi adalah kekangan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang terikat dengan beberapa program turut menyumbang ketidakhadiran ke Dewan Rakyat. Eloklah disusun program ikut keutamaan. Jangan ikut suka.

“Kalau kamu lihat dalam sesi bajet ini kita balik lewat, selalunya 10.30 malam dan semasa sampai di rumah pukul 12 malam. Kemudian mandi dan tidur pukul 1 pagi kemudian lewat bangun pagi untuk sesi pagi kerana kepenatan,” begitulah kenyataan atau alasan oleh Ahli Parlimen Sungai Petani itu.

Hakikatnya bukan hanya wakil rakyat yang sibuk atau mempunyai jadual waktu bekerja sebegitu. Di luar Dewan Rakyat lebih ramai masa kerja luar biasa. Contohnya pemandu teksi dan Grab. Mereka ini kebanyakannya keluar awal pagi, balik lewat malam tanpa waktu rehat atau waktu makan yang tidak menentu. Tak ‘bergerak’ rezeki tak masuk. Sekurang-kurangnya wakil rakyat ada juga ruang untuk lepak di luar Dewan Rakyat sambil minum. Elaun kehadiran juga berjalan.

Wakil Rakyat Sepang, Mohamed Hanipa Maidin yang bertaraf timbalan menteri pula mempunyai alasan lain. Beliau menjadikan kesejukan Dewan Rakyat sebagai penyebab tidak ramai wakil rakyat mampu duduk berjam-jam semasa persidangan berlangsung. Katanya sukar bagi Ahli Parlimen untuk berada dalam Dewan Rakyat secara berterusan kerana suhunya yang cukup rendah. Dalam hal ini, menteri yang jaga Parlimen boleh bertindak kawal suhu.

Tidak perlulah memberi hujah yang bukan-bukan atau membandingkan dengan negara lain. Ada kalangan wakil rakyat berkenaan bukan kali pertama berada di  Dewan Rakyat. Berhati-hatilah mengeluarkan kenyataan supaya ia tidak menjadi bahan jenaka seperti sediakan elaun baju sejuk atau elaun datang awal dan elaun balik lewat. Bagi yang balik awal pula potong elaun, ikut jam hadir mesyuarat.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh turut terperangkap dengan kenyataannya yang dianggap mengarut. Kata wakil rakyat DAP itu, mereka yang tidak bersetuju dengan RUU Perbekalan 2020 membabitkan kementerian itu telah mengkhianati pengundi khususnya mereka yang menerima bantuan. Beliau mendakwa parti pembangkang sanggup mempolitikkan peruntukan kepada kementeriannya dengan meminta undi belah bahagi bagi mengundi RUU itu.

Siapa khianati siapa? Jika itu alasannya, adakah selama ini, ketika mereka menjadi pembangkang, suara mereka lebih ramai menyokong setiap RUU yang dibentangkan kerajaan BN? Ketika berbahas ada sahaja yang tidak kena. Beliau bercakap seolah-olah tidak pernah menjadi pembangkang. Tidak perlu meludah ke langit. Adakah RUU itu hanya berkaitan bantuan? Kedengaran juga ada pihak sebelah kerajaan yang bersuara mengatakan  pembangknag tidak mahu orang kurang upaya dibantu.

Memang lucu alasan berkenaan. Bagaimana pula tanggungjawab wakil rakyat kerajaan yang tidak hadir untuk sama-sama menyokong RUU itu? Adakah mereka yang dipilih oleh rakyat tidak ambil berat soal kebajikan rakyat? Bolehkah diandaikan mereka tidak peduli sama ada RUU itu lulus atau tidak? Adakah pihak sebelah kerajaan yang ada sekarang perlu belajar semula menjadi pembangkang?

Bacalah ucapan perbahasan anggota parlimen pembangkang sama ada yang mewakili BN atau Pas ketika mereka mengambil bahagian. Adakah ucapan mereka membayangkan mereka menolak semuanya itu?  Adakah RUU itu semata-mata untuk membantu OKU dan orang miskin?

Isu ini tidak boleh dianggap kecil sekiranya berlaku sesuatu usul yang memerlukan kelulusan atau sokongan ahli-ahli Dewan. Ada ketika kehadiran pembangkang lebih ramai atau seimbang sehingga memungkinkan sesuatu RUU itu mendapat sokongan tipis. Rasanya blok kerajaan lebih memahami kerana mereka berpengalaman sebagai pembangkang.

Pembangkang termasuk BN dan Pas bukan mahu menyekat bantuan kebajikan sebaliknya ada perkara yang perlu diperkemaskan untuk kebajikan rakyat.

Apa pun alasan pihak kerajaan dan pembangkang, mesej yang perlu difahami di sebalik isu ini adalah wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat perlu lebih serius ketika menghadiri persidangan ini. Hargai masa yang diperuntukkan. Kadang-kadang masa yang lama diambil kerana sikap sesetengah ahli Dewan yang sering bangun mencelah sehingga mencetuskan suasana kecoh . Situasi ini menyebabkan banyak masa terbuang untuk ‘bertekak’ menegakkan benang yang basah.

Berbahaslah secara berhemah bukan ikut suka redah serta melakukan provokasi yang mengundang wakil rakyat lain mencelah.

Jadikan pengalaman lalu sebagai pengajaran. Ingatlah sikap sambil lewa memberi kesan kepada RUU apabila diminta untuk diluluskan. Jangan untuk RUU terpilih sahaja mrenyebabkan Dewan Rakyat penuh. Dalam situasi atau kedudukan wakil rakyat kerajaan dan pembangkang hari ini,  perhatian serius perlu diberi untuk memastikan jumlah kehadiran wakil kerajaan mengatasi jumlah pembangkang.

Nnn

Related posts

Leave a Comment