21.11.2019 : JOM KE MASJID
BARU-BARU ini singgah solat Zuhur di Masjid Jamek Ar Rahman, Merlimau, Melaka. Masjid yang kelihatan masih baharu ini terletak di Jalan Melaka-Muar, Kampung Pulai. Seperti ciri-ciri binaan masjid lain di Melaka, masjid ini juga mempunyai ciri yang sama pada bahagian bumbung. Masjid yang luas ini mampu menampung kira-kira 1,000 jemaah pada satu-satu masa. Untuk kemudahan jemaah, tempat letak kereta juga luas. Masjid ini dibina di kawasan seluas 1.01 hektar (2.5 ekar). Pembinaannya bermula pada penghujung tahun 2015 dan siap sepenuhnya pada Februari 2018. Kos pembinaannya sebanyak RM7 juta dengan RM4.46 juta peruntukan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri manakala RM340,000 daripada Majlis Agama Islam Melaka serta sumbangan orang ramai. Masjid ini dirasmikan pembukaannya oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob pada 2 Mac 2018.