PIHAK di sebelah sana terus membuat ‘lambungan’ isu untuk dijadikan bahan ‘sembang’ di serata ceruk rantau. Kali ini berkaitan cadangan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD). Isu ini bukan sahaja mengundang pelbagai reaksi parti-parti politik tetapi juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pendakwah, pemimpin masyarakat dan rakyat terutama orang Melayu dan Islam. Tindak balas mereka panas sehingga membawa kepada demonstrasi. Entah apa lagi isu yang bakal ‘dilambung’ untuk ‘disambut’ oleh orang Melayu, siang dan malam. Dalam tempoh enam bulan ini satu persatu isu timbul sama ada yang dicetuskan oleh orang politik, NGO yang bergerak atas nama memperjuangkan hak asasi manusia dan pelbagai lagi.
Menyelak kembali, antara isu yang dicetuskan sebelum ini yang mampu mengguris perasaan orang Melayu dan Islam termasuklah berkaitan institusi raja-raja Melayu, bahasa Melayu, sekolah tahfiz, institusi Islam, penyebaran kitab Bible di kawasan sekolah dan penduduk kampung melibatkan orang Melayu dan Islam khususnya di Pulau Pinang dan Kedah, isu golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT). Begitu juga amalan khatan bayi perempuan turut dijadikan isu atas nama memperjuangkan hak asasi manusia. Kenapa keadaan ini berlaku? Adakah sekadar mahu melihat sejauh mana orang Melayu Islam boleh bersabar atau berkompromi? Adakah mereka berbuat demikian kerana menyedari bahawa ada kalangan orang Melayu yang bersedia menyokong dan mengiyakan apa yang dibangkitkan?
Kata orang, sarang tebuan jangan dijolok. Mungkin mereka berani menjolok kerana tahu tebuan sudah lemah, tidak berbisa atau terbang meninggalkan sarang? Memang benar, atas nama demokrasi, mereka bebas bersuara untuk memperjuangkan hak asasi manusia tetapi akhirnya ia lebih menjurus kepada tindakan provokasi yang mencetuskan kontroversi. Hentikanlah sebarang bentuk tindakan yang boleh meniup api kemarahan, untuk mencabar maruah umat Melayu dan Islam. Dalam sesetengah isu ada juga yang menyifatkan semua ini mainan ‘cybertrooper’ dan juga pembangkang. Namun bagi ICERD, parti politik kerajaan juga tidak bersetuju. Isu ini lebih panas apabila diputarkan kembali video lama mengenai kenyataan pemimpin Barisan
Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf), P. Waytha Moorthy yang kini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial). Jika benar kenyataan itu keluar daripada mulutnya, maka ia amat memalukan. Ia mempamerkan keangkuhan, kesombongan dan pembohongan. Apakah label yang sesuai terhadap orang seperti ini? Kenyataan itu dikaitkan dengan kesungguhannya untuk mengheret negara meratifikasi dan mengesahkan ICERD. Kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, “Beliau lebih cenderung untuk membangkitkan isu-isu yang mampu mencetus gelodak kemarahan rakyat dan membangkitkan api permusuhan di antara kaum”.
Tidak timbul isu video yang tular itu adalah ketika era kerajaan Barisan Nasional (BN) tetapi ia berkait rapat dengan isu sekarang. Mungkin ketika itu kerajaan BN tidak ambil peduli dan tidak melayan pembohongan serta tegas menolak ICERD. Hari ini apabila kenyataan itu disusuli video, ia menjadi panas. Begitulah amat berbahaya pada era ini apabila bercakap ikut sedap mulut dan pada masa yang sama meninggalkan bukti melalui pelbagai medium di media sosial. Buktinya banyak kenyataan lama mereka yang kini memegang jawatan menteri digali semula bagi menyesuaikan dengan apa yang berlaku sekarang. Benarlah kata orang Cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar.
Bagi membendung kemarahan orang ramai khususnya masyarakat Melayu dan Islam, jika sebahagian parti kerajaan menolak ICERD maka adalah menjadi tanggungjawab pemerintah untuk mengambil pendirian yang lebih tegas. Muktamadkan keputusan. Jangan buang masa umat Melayu Islam di negara ini turun di jalanan mengadakan demonstrasi bantahan yang kemungkinan boleh mencetuskan keadaan yang lebih buruk. Biarlah kita ‘hidup’ dan bergerak mengikut acuan yang sudah terbukti keharmoniannya. Jangan menjerumuskan diri ke dalam kancah kekacauan.
Itu kisah ICERD. Isu bahasa Melayu juga tidak kurang hebatnya. Jika sebelum ini kecoh mengenai tindakan Kementerian Kewangan mengeluarkan kenyataan dalam bahasa Mandarin, baru-baru ini timbul pula papan kenyataan jalan yang meletakkan bahasa Melayu atau bahasa Malaysia di kedudukan kedua. Mungkin isu ini masih belum panas tetapi gambar dan video sudah tular. Timbul persoalan apakah garis panduan yang perlu diikuti serta peranan Pihak Berkuasa Tempatan dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)? Mungkin pihak berkenaan akan memberi alasan bahawa penggunaan bahasa Mandarin melambangkan pengiktirafan kerajaan terhadap aspek kepelbagaian bahasa. Bahasa Melayu seharusnya menjadi bahasa perpaduan di negara ini.
Timbul persoalan, sejauh mana kesan memorandum yang diserahkan oleh lebih kurang 20 ‘pejuang bahasa’ diketuai pemimpin dari Majlis Perundingan Melayu (MPM) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) tidak lama dulu? Kumpulan ini telah menghantar memorandum bagi membantah tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan tiga bahasa – Melayu, Inggeris dan Cina – ketika membincangkan isu Tun Razak Exchange. Adakah bahasa Melayu akhirnya hanya tinggal slogan Bahasa Jiwa Bangsa? Lebih merisaukan, mereka yang hadir ketika penyerahan memorandum itu terdiri daripada ‘orang lama’. Ke mana anak muda Melayu? Adakah mereka masih bersemangat dan bersedia untuk mempertahankan bahasa Melayu?
Kesimpulannya, situasi hari ini tidak akan berlaku sekiranya setiap daripada rakyat terutama di peringkat pemimpin sama ada kerajaan atau pertubuhan dapat menghormati Perlembagaan Persekutuan. Semuanya akan berjalan dengan baik jika perlembagaan yang menggariskan soal agama, bahasa, kebudayaan dan sebagainya dihormati dan dipertahankan. Ingatlah api yang sedang membakar dan jelas kelihatan boleh dipadam atau dijauhi agar tidak membakar diri tetapi jika api itu terlindung di sebalik sekam, maka ia akan menjadi ‘ancaman’ yang lebih membahayakan. Maka berhati-hatilah. Apa pula isu yang bakal ‘dilambung’ sebelum akhir tahun 2018? Sama-sama kita tunggu apa yang bakal diselak. Jika masih ada lagi, entah bila ‘pintu isu’ ini akan diselak rapat-rapat.
UMM191118016C_2#