Bahan beracun ada di mana-mana

SEJAK kebelakangan ini banyak isu berkaitan ‘racun’ dalam kehidupan seharian kita. Bukan sekadar ‘racun’ politik yang menyebabkan rakyat ‘terhoyong-hayang’ selepas lima bulan pilihan raya umum berlalu tetapi ‘racun’ melibatkan ‘keperluan’ manusia untuk hidup. Racun ini bukan sekadar memudaratkan kesihatan tetapi boleh membawa kematian. Keracunan makanan serta produk tiruan termasuk ubat dan kosmetik ‘beracun’ mencetuskan kebimbangan. Jika sekadar ‘rokok, arak, kosmetik atau makanan beracun’ masih boleh diterima tetapi apabila ubat juga didapati beracun, apakah jaminan terhadap keselamatan nyawa manusia?

Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), racun membawa maksud bahan yang berbisa dan boleh mematikan atau membawa maut (kalau dimakan). Ubat pula bermakna benda yang digunakan (dimakan, disapu dan lain-lain) untuk menyembuhkan penyakit atau menyihatkan badan. Malangnya pada hari ini, `ubat’ juga berbahaya kepada kesihatan. Begitu juga sesetengah kosmetik yang memudaratkan. Semua ini berlaku disebabkan bahan-bahan tiruan yang ‘membanjiri’ pasaran. Rokok, arak, ubat yang tidak berdaftar atau diseludup masuk ke negara ini memberi kesan buruk kepada pengguna. Justeru, semua pihak berkuasa perlu berusaha membanteras penyeludupan ini sama ada yang dibuat secara terancang atau ‘tersembunyi’.

Pemantauan perlu dilakukan secara berterusan. Jika restoran boleh dipantau dengan membuat pemeriksaan mengejut untuk melihat tahap kebersihan, perkara yang sama juga perlu dilakukan di premis perniagaan termasuk yang menjual rokok, arak, ubat, kosmetik dan sebagainya yang berpotensi mengancam nyawa manusia. Pengguna tidak dapat membezakan mana yang asli atau tiruan. Ramai yang tidak peduli dengan barang tiruan atau palsu. Bagi sesetengah pengguna, keutamaan adalah kepada produk yang murah, bukannya kualiti. Akhirnya, mereka terperangkap dengan barang tiruan yang tidak selamat.

Contohnya pada akhir bulan lalu, kita digemparkan dengan kematian 40 orang akibat arak beracun. Arak ini mungkin diproses tanpa mengikut kawalan kualiti atau arak tiruan yang diseludup. Hasil siasatan Kementerian Kesihatan terhadap arak yang dirampas juga mendapati kandungan metanol adalah tinggi yang tidak sesuai serta memudaratkan kesihatan

Benar harga rokok seludup ini murah tetapi kesan sampingannya amat besar. Lebih berbahaya daripada rokok ‘sah’. Menurut satu kajian, rokok seludup ini tiga kali lebih berbahaya sehingga menyebabkan kematian. Bagaimana arak tiruan ini boleh dijual di pasaran? Ada premis yang menjual arak tiruan dengan pelbagai jenama yang menarik perhatian terutama warga asing. Jika diselak kembali kematian seumpama ini, ia mengingatkan Selak kepada tragedi di Lunas, Kedah pada tahun 1981.

Tragedi pada 23 dan 24 Januari itu sepatutnya menginsafkan masyarakat supaya tidak mengambil apa juga barang makanan dan minuman yang diproses secara haram. Menyelak kembali peristiwa itu, dilaporkan 32 orang meninggal dunia akibat samsu ‘haram’. Dulu, samsu dijual secara berlesen dengan harga yang murah. Selak masih ingat orang memberi gelaran ‘kedai tuak kerajaan’. Samsu adalah `minuman’ memabukkan. Ketika itu, semasa zaman sekolah, jika melintasi kedai tuak ini, timbul kerisauan kalau-kalau mereka yang mabuk buat hal.

Menurut satu catatan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), seorang mangsa hilang penglihatan selepas minum samsu haram. Menurut mangsa itu, pada tahun 1981 adalah tahun ke-13, dia minum samsu yang berhagra 40 sen. Jika dulu samsu, kini arak tiruan pula mengambil tempat. Apa pun gelaran atau namanya sama ada samsu, minuman keras, arak atau alkohol, pihak berkuasa perlu bertindak tegas untuk membendung kematian beramai-ramai. Di samping kesedaran masyarakat, tindakan pihak berkuasa juga amat penting. Arak tiruan umpama racun ini mungkin ada di mana-mana. Operasi berterusan perlu dilakukan supaya alkohol atau arak yang mengandungi racun methanol dirampas.

Rokok haram juga perlu diberi perhatian supaya perokok tidak sekali-kali mengambil mudah disebabkan isu harga. Benar harga rokok seludup ini murah tetapi kesan sampingannya amat besar. Lebih berbahaya daripada rokok ‘sah’. Menurut satu kajian, rokok seludup ini tiga kali lebih berbahaya. Ia mengandungi bahan kimia melebihi had yang ditetapkan, kandungan nikotin lebih tinggi dan mungikin dicemari bahan kimia atau produk bukan tembakau lain.

Begitu juga dengan kebanjiran pelbagai produk termasuk jus yang dikatakan baik untuk kesihatan. Ada jus yang didapati mengandungi dexamethasone dan prednisolone iaitu bahan steroid yang dilarang di bawah Akta Makanan 1983. Difahamkan penggunaan dexamethasone dan prednisolone tanpa pengawasan boleh membawa kesan sampingan kepada kesihatan termasuk kelemahan otot, kerapuhan tulang, peningkatan gula dalam darah, tekanan darah tinggi dan katarak.

Lebih merisaukan apabila ubat tidak berdaftar juga berada di pasaran sama ada secara terbuka atau melalui online. Ada sahaja produk baharu yang muncul di media sosial. Adakah masyarakat peduli dengan kandungan bahan-bahan berkenaan? Ramai yang terpengaruh dengan iklan serta pengakuan pengguna produk. Rekod Kementerian Kesihatan menunjukkan, hasil 1,000 serbuan yang dilakukan sehingga September lalu berjaya merampas produk ubat tidak berdaftar bernilai RM25.7 juta. Serbuan melibatkan 88 kawasan ‘panas’ dengan 700 premis dikategorikan sebagai tegar menjual produk berkenaan. Produk ubat tidak berdaftar utama yang ditemui dalam rampasan itu ialah produk pelangsingan yang mengandungi bahan seperti sibutramine, produk peransang seks (tadafil), produk penahan sakit (steroid), produk injeksi kecantikan (hydroquinone).

Kebanyakan produk penahan sakit adalah yang diimport manakala produk dari jenis yang lain dihasilkan di dalam negara secara tidak sah. Dalam hal ini, inisiatif Kementerian Kesihatan melalui Program DiPS (Didik, Pantau, Serbu) amat dialu-alukan.

UMM291018016C#

Related posts

Leave a Comment