‘Sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula’

BUKANLAH berita yang me­ngejutkan apabila Pakatan­ Harapan (PH) mengekalkan­ kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Selangor kelmarin. Melalui calonnya dari PKR, keputusan pilihan raya ke­ cil (PRK) itu memihak kepada PH walaupun peratusan keluar me­ngundi rendah iaitu 49.8 pera­ tus. Pelbagai pandangan­ diberi mengenai keputusan itu. Masing-masing  membuat  kesimpulan berdasarkan  kedudukan  parti sama ada sebagai parti pemerin­tah atau pembangkang.

PH mengaku rakyat terus me­nyokong kerajaan dan BN pula mendakwa pengundi sedang menunjukkan tanda protes ter­hadap PH. Mereka yang di luar politik juga membuat analisis sendiri. Adakah jika peratusan keluar mengundi tinggi, kepu­tusannya jauh lebih­ baik untuk kedua-dua parti? Adakah jika se­mua penyokong UMNO dan Pas keluar mengundi, keadaan­ boleh berubah iaitu memihak kepada Barisan Nasional­ (BN)? Elok dili­hat pula dua lagi PRK dalam tem­poh terdekat ini yang melibatkan DUN Selangor iaitu Balakong dan Seri Setia. Adakah akan berlaku perubahan peratusan mengundi? Hakikatnya, keputusan PRK itu tidak memberi apa-apa makna kepada kedudukan kerajaan ne­ geri Selangor yang dikuasai PH.

Masih terlalu awal juga untuk menjadikan faktor 100 hari janji masih belum ditepati sebagai tanda untuk keluar mengundi sebagai tanda protes. Banyak faktor lain yang boleh dijadikan pendorong untuk pengundi ke­luar mengundi sekali lagi dalam tempoh tidak sampai 100 hari pil­ihan raya umum (PRU) diadakan pada 9 Mei lalu. Keputusan PRK lebih kepada untuk melihat se­jauh mana pengundi mengubah fikiran berbanding keputusan yang dibuat sebelum ini. PRK sekadar memberi peluang ke­ pada kedua-dua pihak untuk me­yakinkan pengundi kepada parti masing-masing. Tidak banyak isu yang boleh ‘dipancing’­ dalam usia kerajaan PH yang masih muda. Kempen yang membang­kitkan kelemahan kerajaan Perse­kutuan, kerajaan negeri atau individu tertentu perlu dibuat secara teliti, bukan sebarangan. Silap perhitungan boleh mema­kan diri sendiri kerana ia boleh menimbulkan kebencian orang yang mendengarnya. Kata orang, cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. Be­gitu jugalah apabila wakil rakyat bercakap di Dewan Rakyat yang sedang bersidang. Tidak banyak­ soalan berkaitan dasar yang boleh diajukan kerana kebanyakan da­ sar yang ada telah digubal oleh kerajaan terdahulu.

Tersilap bertanya pasti akan memakan diri seperti pantun yang diungkapkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr. Mu­jahid Yusof Rawa di Dewan Rak­ yat pada minggu lalu. Ketika men­jawab soalan yang dibangkitkan oleh wakil pembangkang (BN), beliau menyampaikan serang­kap pantun iaitu Bersingsing le­ngan merapatkan bahu; Berdiri teguh petualang dicari; Jangan ditanya yang sudah tahu; Kelak padah memakan diri. Pantun itu mungkin sindiran dan siapa yang makan cili, terasa pedasnya. Pan­tun itu mengiringi jawapan ber­hubung Program Khas Haji tajaan Yayasan 1MDB termasuk yang melibatkan 1,200 bakal jemaah tahun ini yang dibuat sebelum PRU. Nasib tidak menyebelahi­ je­ maah yang dijanjikan ke Mekah tahun ini apabila kerajaan baharu enggan meneruskan program itu. Kata Mujahid “Kami mewarisi keputusan terdahulu yang telah dibuat oleh kerajaan sebelum ini dan terpaksa kami mengambil sikap yang baharu terhadap isu ini. Oleh itu, program tersebut tidak diteruskan bagi musim haji tahun 2018 memandangkan sumber dana bagi program tersebut adalah daripada pihak yang berkaitan dengan 1MDB yang masih dalam siasatan pihak berkuasa,”

Biar apa pun hujah yang dikemukakan bagi mewajarkan program itu diteruskan walaupun menggunakan wang jemaah itu sendiri, hakikatnya kuasa kini di tangan PH. Kerajaan hari ini menjadi penentu segala keputusan, biar pun ia amat melukakan dan mengecewakan bakal jemaah. Itu ketegasan kerajaan PH yang dipilih oleh rakyat yang perlu dihormati. Jika kuota yang diperuntukkan itu atas nama Perdana Menteri ketika itu tetapi hari ini, Najib Razak adalah mantan dan penyandang sekarang ialah Dr. Mahathir Mohamad. Diharapkan bakal jemaah yang telah terpilih tetapi ‘terkandas’ dapat bersabar dan terimalah ia sebagai ketentuan-Nya atau belum sampai ‘seru’. Berdoalah mudah-mudahan giliran mereka akan tiba juga suatu hari nanti walaupun tanpa melalui Yayasan 1MDB.

Berkaitan isu-isu yang dibangkitkan di Dewan Rakyat, pihak pembangkang juga harus ingat bahawa banyak fakta yang ditanya adalah berkaitan dengan tindak tanduk atau keputusan kerajaan terdahulu. Jawapan yang diberi sudah tentulah dirangka oleh pegawai-pegawai yang sudah lama berada di bawah kerajaan terdahulu. Maka berhati-hatilah supaya tidak disindir sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula kerana bimbang akhirnya ibarat meludah ke langit terkena batang hidung sendiri.

Wakil rakyat pembangkang perlu lebih bersedia untuk menghadapi hujah-hujah yang dilontarkan oleh kerajaan ketika menjawab persoalan yang dibangkitkan. Masih ramai bekas menteri Kabinet yang ada di blok pembangkang. Lambat laun, akan ada jawapan-jawapan yang mungkin menyalahkan keputusan kerajaan terdahulu. Maka adalah tidak wajar untuk cuba ‘memperlekehkan’ mana-mana anggota Kabinet sekarang sekiranya isu yang dibangkitkan berasaskan keputusan Kabinet yang lepas. Ingatlah siaran langsung sidang Parlimen dapat disaksikan rakyat. Justeru biarlah hujah-hujah yang dikemukakan boleh diyakini dan diterima rakyat. Kredibiliti mantan anggota Kabinet sedang diperhati supaya rakyat lebih yakin dengan hujah-hujah bagi menangkis pendedahan atau pembongkaran oleh kerajaan.

Tidak ada apa lagi yang dapat disembunyikan apabila menterimenteri pada hari ini dibekalkan jawapan berasaskan fakta. Contohnya ketika Menteri Kewangan Lim Guan Eng menjawab isu-isu berkaitan 1MDB dan GST. Tidak banyak yang mampu dihujah atau dijelaskan oleh pembangkang. Tersilap langkah, pembangkang boleh terperangkap dengan soalan atau penjelasan yang dikemukakan. Maka tidak wajar soalan-soalan berkaitan ‘kenapa kerajaan tidak melakukan itu dan ini…’ dibangkitkan pada masa ini.

Cuba selak kembali ucapan Presiden Amanah, Mohamad Sabu yang juga Menteri Pertahanan bahawa kerajaan PH tidak sampai tiga bulan. Katanya, ibarat memasuki rumah baharu, keadaan di dalam rumah sedang disusun, dicuci, lebih-lebih lagi rumah berkenaan dalam keadaan busuk. Penjelasan yang mudah tetapi penuh sindiran tajam yang menarik perhatian orang yang mendengarnya.

Menjelas dan menjawab perlu berdasarkan fakta supaya tidak terjadi pulang paku buah keras. Rakyat di luar memerlukan fakta yang boleh menguatkan hujah. Justeru berhati-hatilah ketika mempertahankan kejayaan yang sudah dilakukan oleh kerajaan sebelum ini. Pembangkang tidak boleh bersikap seperti pembangkang yang terdahulu yang sering mencari kelemahan untuk dijadikan modal kerana seperti disebut sebelum ini, sebarang kelemahan berkaitan dasar sekiranya ada berasal daripada kerajaan terdahulu yang diterajui BN.

UMA060818008C#

Related posts

Leave a Comment