PANGGILAN haji tiba lagi! Firman Allah dalam surah al-Haji: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadah haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) Mu dengan berjalan kaki, dan menunggang berjenis-jenis unta kurus (kerana lamanya perjalanan), yang datangnya dari pelbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.” Hari ini bermulalah detik perjalanan itu, penerbangan pertama membawa jemaah haji Malaysia dijangka berlepas ke Madinah. Semoga semua penerbangan seterusnya dapat berjalan lancar. Bersabarlah jika menerima sebarang pindaan atau perubahan penerbangan. Ini juga satu cabaran yang menguji kesabaran. Bersyukurlah kerana 30,200 jemaah menerima giliran mereka tahun ini. Jumlah itu meningkat selepas hubungan baik Malaysia dan Arab Saudi serta kecemerlangan Lembaga Tabung Haji mengendalikan jemaah mendorong kerajaan Arab Saudi menambah kuota. Harus diingat tambahan itu juga secara tidak langsung menyebabkan subsidi yang dikeluarkan oleh Tabung Haji untuk menanggung kos jemaah meningkat.
Bagi yang menerima tawaran menunaikan haji tahun ini bolehlah menyelak seketika helaian buku akaun simpanan masing-masing. Potongan wang simpanan yang dibuat tidak sampai RM10,000. Kos haji sebenar adalah RM19,550 sedangkan kos yang diambil hanya RM9,980. Kenapa tidak digenapkan sahaja RM10,000? Terharu apabila tiba-tiba melihat jumlah wang masuk sebanyak RM9,570 dan kemudiannya jumlah keseluruhan di dalam akaun ditolak sebanyak RM19,550 (Jemaah RM9,980 + Subsidi RM9,570), sebagai kos haji. Baki yang ada kekal menjadi milik pendeposit atau jemaah haji. Ada duit poket di sana.
Maknanya jika seseorang pendeposit mempunyai RM10,000 di dalam akaun, ia sudah mencukupi untuk menunaikan haji. Cuma kekangan dihadapi ialah kuota yang terbatas. Jika dilihat kos untuk menunaikan umrah lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan ternyata kos menunaikan ibadah haji amat rendah. Selak kembali, berapakah kos umrah paling tinggi? Katakanlah RM6,000. Berapa hari jemaah akan berada di sana? Bandingkan pula dengan tempoh jemaah untuk menunaikan haji. Berapa hari mereka akan berada di sana bagi kos yang dikeluarkan jemaah yang tidak sampai RM10,000 itu? Paling kurang 40 hari jemaah akan berada di dua tanah suci Mekah dan Madinah.
Begitulah hasil menabung atau menyimpan di Tabung Haji. Di samping kos tambang dan penginapan, Tabung Haji juga menanggung kos haji tidak langsung bagi jemaah seperti penerbitan buku dan risalah panduan haji, kursus haji, kos petugas kebajikan dan perubatan dan kos operasi berkaitan haji di tanah air.
Menyelak kembali perjalanan wujudnya Tabung Haji ini, secara ringkas, ia adalah cetusan idea Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz pada Disember 1959. Hasilnya Per-badanan Wang Simpanan Bakal-bakal Haji (PWSBH) ditubuhkan pada 1963. Mulai 30 September 1963, PWSBH melakar sejarah dengan membuka kaunter untuk menerima tabungan bakal haji. Pada peringkat awal, sebanyak 1,281 bakal haji membuka akaun dengan jumlah RM46,610. Sejak itu umat Islam Malaysia dididik untuk menyimpan wang mereka bagi menunaikan Rukun Islam kelima itu. Ada juga yang mengambil jalan singkat dengan menjual tanah kebun atau sawah bendang bagi mencukupkan perbelanjaan.
PWSBH kemudiannya bertukar menjadi Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH) pada 1969 selepas bergabung dengan Pejabat Urusan Hal Ehwal Haji yang ditubuhkan dan beroperasi di Pulau Pinang pada 1951. LUTH kemudian bertukar lagi kepada Lembaga Tabung Haji pada 1995 atau singkatannya Tabung Haji atau TH. Begitulah jalan yang dirintis bagi membantu masyarakat Islam di Malaysia menunaikan haji dengan wang bersih tanpa riba.
Bagi masyarakat Islam di Malaysia, jika mereka belajar menyimpan di Tabung Haji sejak awal lagi, tidak timbul masalah untuk menunaikan haji. Pada masa sama, tertakluk kepada syarat-syarat tertentu, bakal haji yang terpilih juga layak membuat pengeluaran wang di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Jumlah pengeluaran adalah bagi mencukupkan bayaran haji (muassasah) dengan had maksimum sebanyak RM3,000. Begitulah kemudahan yang ada bagi bakal jemaah haji Malaysia.
Seperti yang disebut sebelum ini, kekangannya hanyalah kuota. Selak pernah membincangkan isu ini dalam keluaran-keluaran lalu. Menanti giliran panggilan haji juga satu pengorbanan setelah kemampuan dari segi kewangan tersedia. Maka bersyukurlah sekiranya berjaya mendapat tempat. Hargai peluang yang diberi dengan mempersiapkan diri untuk perjalanan ibadah di dua tanah suci itu. Kekuatan fizikal dan mental amat perlu. Sabar dalam menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan terutama pada hari-hari penting dalam ibadah termasuk di Arafah dan Mina. Dalam keadaan cuaca yang panas ini, bersedialah untuk menjaga kesihatan dengan baik.
Mungkin berikutan penambahan jemaah pada tahun ini akan turut mencabar keupayaan para petugas Tabung Haji. Bagaimanapun sudah tentu pihak berkenaan sudah bersiap sedia untuk menghadapinya. Tahun ini, sebanyak 600 petugas akan membantu jemaah Malaysia sepanjang musim haji ini. Sudah tentu akan berlaku sedikit sebanyak kekurangan yang juga memerlukan sokongan jemaah. Bagi memudahkan urusan, patuhilah dan ikutilah nasihat para petugas supaya segalanya berjalan lancar sepanjang berada di Mekah dan Madinah. Bagi menghadapi pertambahan kuota jemaah juga, Tabung Haji menambah hotel penginapan untuk menempatkan jemaah haji Malaysia. Tabung Haji akan sentiasa menambah baik perkhidmatan kepada jemaah. Kemudahan hari ini semakin baik.
Selaklah kisah jemaah pada masa dulu. Ambillah iktibar pelayaran mereka dengan kapal laut Malaysia Kita dan Malaysia Raya. Kapal itu hanya mampu memuatkan 2,000 bakal haji bagi setiap pelayaran dan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga minggu untuk sampai ke Jeddah. Lihat juga pelbagai persiapan yang perlu dilakukan untuk ke sana. Peti kayu misalnya menjadi ‘beg’ mereka. Begitulah kesukaran yang ditempuh pada masa lalu. Justeru ketabahan mereka harus dijadikan contoh dan teladan kepada jemaah hari ini. Suasana sekarang sudah berubah. Perjalanan lebih mudah dengan menggunakan pesawat. Mengikut catatan, penerbangan haji bermula pada 1970 sementara khidmat kapal laut ditamatkan pada 1977.
Kepada bakal jemaah haji jadilah tetamu Allah dengan ikrar seperti talbiah yang dilafazkan. Ya Tuhanku, aku menyahut seruan-Mu. Tiada sekutu bagi-Mu. Ya Tuhanku, aku menyahut seruan-Mu. Sesungguhnya segala kepujian dan nikmat bagi-Mu sahaja dan kerajaan sebenarnya milik-Mu juga, tiada sekutu bagi-Mu (tiada Tuhan yang lain daripada-Mu). Iringi ikrar ini dengan memperuntukkan sepenuhnya masa untuk beribadah serta memenuhi perkara rukun dan wajib di samping ibadah sunat. Jagalah setiap perkataan dan perbuatan supaya tidak menyinggung orang lain. Melangkahlah ke tanah suci dengan jujur dan ikhlas semata-mata untuk beribadah.
Semasa di sana, jagalah nama baik Malaysia dan Tabung Haji supaya dengan imej itu dapat membuka peluang lebih ramai jemaah Malaysia terpilih ke sana. Doakan juga kesejahteraan Malaysia.
Selamat berangkat! Semoga memperoleh haji mabrur.
UMA240717010C#