SEREMBAN 27 April – Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun berkata setakat ini belum ada pandangan dilontarkan mana-mana pihak supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dibubarkan.
Justeru, beliau akan meneruskan tanggungjawab mentadbir negeri walaupun 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) menarik sokongan kepadanya berkuat kuasa serta merta hari ini.
Bercakap pada sidang media di kediaman rasminya di sini, hari ini, beliau menjelaskan sudah menyembah maklum kedudukan semasa ADUN yang menyokongnya kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Baginda katanya, menitahkan supaya pentadbiran semasa diteruskan seperti biasa.
“Kita akan jalankan pentadbiran kerajaan (negeri) sedia ada sehingga ada keputusan jelas. Saya akan teruskan tugasan (sebagai Menteri Besar),” katanya yang turut memaklumkan pentadbiran negeri akan berjalan sebagai kerajaan minoriti.
Aminuddin yang terkejut dengan tindakan ADUN UMNO dan Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadapnya hari ini berkata, buat masa ini, belum ada rancangan untuk bertemu ADUN BN bagi melerai konflik yang berlaku.
Sementara itu, DAP menyokong penuh kepemimpinan Aminuddin sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan, untuk meneruskan tanggungjawab mentadbir negeri biarpun sebagai kerajaan minoriti.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke berkata, DAP menolak sebarang cubaan untuk menggulingkan kerajaan sedia ada.
Beliau berkata, jika ada usaha untuk menukar Menteri Besar, ia perlu melalui proses yang betul iaitu menerusi usul undi tidak percaya di DUN atau atas titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang meminta jawatan itu dikosongkan.
“Bagi kita kedudukan Menteri Besar hanya boleh ditukar melalui dua cara. Ada dua ‘precedent’ (kes duluan), pertama dia boleh digugurkan jawatan melalui usul atau undian dalam DUN, iaitu kalau usul undi percaya tak diluluskan,” katanya.
nnn
